Syarifah Dayana Syed Bakri
Betika saya masih di alam kanak-kanak, apabila membeli barangan yang agak mahal istilah biasa yang akan disebut adalah - mahal gila - yang merujuk kepada harga terlampau mahal.
Namun, apabila menginjak ke alam dewasa istilah lain pula disebut - harga Yahudi, harga Israel, harga Tel Aviv atau harga Zionis - untuk merujuk kepada barangan yang dijual pada harga terlalu mahal.
Ini kerana sebagai pelanggan, apabila peniaga menjual barangan pada harga terlalu tinggi, mereka dianggap kejam umpama Israel atau Zionis.
Namun, dalam konteks kemanusiaan kekejaman sebenar adalah dari pihak Zionis.
Beberapa hari lalu, polis Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa dan bertempur dengan rakyat Palestin. Terdapat wartawan mendakwa pasukan keselamatan rejim Zionis dilihat turut menyekat laluan ke masjid itu.
Saksi warga Palestin, Abdel Karim Ikraiem berkata, polis Israel yang dilengkapi cota, peledak gas pemedih mata dan bom asap menyerbu Masjid Al-Aqsa menggunakan kekerasan serta 'memukul lelaki dan perempuan' yang sedang beribadah.
Rakaman video yang tersebar luas menerusi media sosial memaparkan pasukan rejim Zionis memukul jemaah di atas lantai dalam masjid itu.
Lebih menyedihkan kejadian ini berlaku pada Ramadan di mana serangan berlaku ketika penduduk Palestin sedang beriktikaf di masjid selepas Tarawih.
Serbuan polis Israel ke atas Masjid Al-Aqsa disifatkan sebagai tindakan 'tidak boleh diterima' sama sekali, kata Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.
Beliau menggesa Israel untuk menghentikan tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan di mana pencerobohan dan ancaman terhadap kesucian dan kepentingan sejarah Masjid Al-Aqsa serta kebebasan beragama dan hidup rakyat Palestin mesti dihentikan, kata Erdogan seperti dilaporkan Anadolu.
Anadolu melaporkan bahawa Kementerian Luar Rusia turut menyuarakan kebimbangan dengan situasi di Masjid Al-Aqsa dan menyifatkan apa yang berlaku di Baitulmaqdis umpama 'memusuhi semua agama di dunia.'
Moscow turut menggesa Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres untuk memberi perhatian yang teliti kepada penempatan Israel-Palestin, menggesa untuk mencari punca kepada tercetusnya keganasan baharu di Palestin dan merangka cadangan bagi memulihkan kestabilan.
Malah, media melaporkan Guterres begitu terkejut melihat rakaman yang menunjukkan pasukan keselamatan Israel memukul jemaah di masjid itu, lebih-lebih lagi kejadian terbabit berlaku dalam bulan mulia yang sepatutnya tempoh aman, kata jurucakapnya.
Sebahagian besar negara Islam termasuk Malaysia turut mengecam tindakan rejim Zionis yang mengganggu ketenteraman umat Islam di Palestin pada Ramadan ini.
Menurut kenyataan media bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Masjid Sedunia Mempertahankan Al-Aqsa (MANAR) dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA), tindakan rejim Israel perlu dibantah dengan keras oleh komuniti dunia.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata Israel tidak sama sekali menghormati resolusi dunia mengenai status Masjid Al-Aqsa.
Katanya, pencerobohan itu menunjukkan rejim Zionis nekad untuk mengambil alih Masjid Al- Aqsa dan serangan itu bukan tindakan biasa dalam meneruskan penguasaan ke atas Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa.
Mohd Azmi berkata, pernyataan solidariti tidak memadai untuk menyatakan sokongan kepada Palestin sebaliknya ia perlu disusuli dengan mengusulkan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan PBB mengeluarkan kenyataan untuk menuntut Israel keluar dari Baitulmaqdis.
Ini kerana provokasi itu sudah mencabar status quo Baitulmaqdis dan Al-Haram Al-Sharif serta tidak boleh dikompromi sama sekali.
Namun, sebagai dalang utama, Menteri Keselamatan Nasional Israel, Itamar Ben-Gvir pula menyuarakan sokongan penuh kepada polis rejim Zionis dan tindakan mereka yang disifatkannya sebagai 'pantas serta nekad.'
Serangan kali ini bukanlah yang pertama buat penduduk Palestin dan pastinya bukan yang terakhir. Pada 2021 dan 2022 juga penduduk Palestin diserang pada Ramadan.
Di saat umat Islam seluruh dunia sedang menumpukan perhatian untuk beramal ibadah, mereka di Palestin bersahur ketakutan dan beriftar kekejaman.
Kita juga berdepan masalah, namun apa sangatlah jika dibandingkan dengan ujian buat penduduk Palestin.
Pada Ramadan penuh keberkatan ini, moga doa semua umat Islam untuk keselamatan penduduk Palestin dimakbulkan Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan