"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sanusi kongsi kembali kenyataan fitnah terhadap Mahfuz Omar

Malaysiakini 
Sanusi kongsi kembali kenyataan fitnah, tegaskan akan bayar saman

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor hari ini berkongsi semula kenyataan fitnahnya terhadap Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar setelah kalah saman semalam.

Kenyataan itu dikongsi semula di Facebooknya ketika mengulas keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang menolak rayuannya dan menaikkan jumlah ganti rugi kepada RM120,000.

“Posting inilah yang didapati saya bersalah oleh mahkamah dan diperintahkan membayar ganti rugi RM50,000 oleh Mahkamah Tinggi (+ RM15,000 kos) dan kemudian dinaikkan kepada RM120,000 oleh Mahkamah Rayuan kerana RM50k didapati terlalu rendah oleh plaintif.

“Mereka membuat counter appeal (rayuan balas) untuk tuntut lebih tinggi,” tulisnya di media sosial pagi tadi.


Sanusi berkongsi semula status itu walaupun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 November 2021 memerintahkan injunksi yang menegah defendan atau ejen-ejennya daripada menerbitkan kata-kata fitnah terhadap plaintif pada masa hadapan.

Saman Mahfuz, bekas anggota Parlimen Pokok Sena, itu difailkan pada 9 Okt 2019 berdasarkan hantaran Sanusi dalam akaun Facebooknya pada 30 Julai 2019.

Sanusi yang juga pengarah pilihan raya PAS mengaitkan Mahfuz - selaku wakil rakyat Pokok Sena ketika itu - dalam isu pemindahan kedai judi nombor ekor Sport Toto ke kawasan terbabit.

Sementara itu, dalam tulisan sama Sanusi berkata dia akan berusaha membayar ganti rugi diperintahkan susulan keputusan saman fitnah itu.

“Apabila sudah didapati bersalah dengan posting ini, menjadi tanggungjawab saya untuk melunaskan tuntutan mereka.

“Saya akan berusaha membayar berapa pun harganya.

”Mengambil mudah atau mengendurkan tekad perjuangan hanya kerana kepentingan politik, takut hilang sokongan atau membiarkan rakyat negeri ini terjebak menjadi kaki judi, tidaklah sekali-sekali,” tegas Sanusi.

Dia bagaimanapun menegaskan keseriusannya membanteras kegiatan perjudian di Kedah dengan tidak lagi mengeluarkan lesen premis judi selepas Disember 2022.

“Mulai Januari 2023, tiada lagi premis perjudian berlesen di seluruh Kedah, selari dengan keseriusan PAS menghentikan kegiatan yang merosakkan seluruh masyarakat di negeri ini. 

“Adapun jika didapati terdapat premis judi tanpa lesen (premis haram) wujud di mana-mana tempat di Negeri Kedah, pihak PDRM dan pihak berkuasa tempatan (PBT) telah dan akan melaksanakan operasi membanteras perjudian selari dengan peruntukan undang-undang.

“Inilah yang dimaksudkan dengan tidak main-main atau ambil mudah dengan judi. We walk the talk (cakap serupa bikin),” kata Sanusi.

Tiada ulasan: