FMT Reporters
Pada 22 Mei, tular di Facebook satu notis mengenai pemberian sagu hati raya RM10,000 kepada ahli lembaga pengarah AKSB, yang dipercayai melibatkan sembilan individu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Individu yang memuatnaik “dokumen sulit” di media sosial berhubung pemberian sagu hati Aidilfitri RM10,000 kepada ahli lembaga pengarah Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), dipanggil polis malam ini.
Ia susulan, laporan polis dibuat pegawai undang-undang AKSB, Muhammad Amin Shamsudin terhadap dua hantaran dimuat naik di Facebook oleh individu dikenali sebagai “Wan Mahussin Wan Zain”.
Menurut Harian Metro, laporan itu dibuat di Balai Polis Kota Bharu, petang semalam.
Pengurus Besar AKSB, Nazmi Ghazali Azmi mengesahkan membuat laporan polis, namun tidak memperincikan perkara itu.
Sementara itu, Wan Mahussin memaklumkan dia dipanggil pihak polis untuk diambil keterangan, pada malam ini.
Semalam, Nazmi meminta media “memadam dokumen berhubung pemberian” sagu hati Aidilfitri itu kerana menyebarkan dokumen sulit adalah menjadi kesalahan.
“Menyebarkan dokumen sulit adalah suatu kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi, wartawan jangan terbabit dengan kesalahan itu. Minta padam (dokumen yang tular),” katanya menurut Harian Metro.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan, dan Utiliti negeri, Azami Mohd Nor dilaporkan juga mengulas lanjut mengenai perkara itu.
“Saya tidak mahu komen perkara ini kerana tidak mahu memperbesarkan isu ini,” katanya.
Pada 22 Mei, tular di Facebook satu notis mengenai pemberian sagu hati raya RM10,000 kepada ahli lembaga pengarah AKSB, yang dipercayai melibatkan sembilan individu.
Turut dinyatakan dalam notis itu ialah pemberian sagu hati RM200 kepada semua kakitangan dan RM2,000 untuk setiausaha syarikat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan