"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ada malapetaka besar akan berlaku nanti

Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ini baru ribut kecil, ada malapetaka besar akan berlaku nanti, jelas Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa mengenai prestasi atlet negara menjelang Sukan Asia Hangzhou September depan.

Menurutnya, apa yang berlaku di Sukan Sea Kemboja 2023 boleh menjadi penunjuk kepada Sukan Asia 2022, sama seperti yang berlaku di Sukan Komanwel Gold Coast 2018 dengan tempiasnya dirasai sehingga Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

"Orang mara pelapis/atlet tidak menyerlah, sebab ini adalah penunjuk kepada Sukan Asia 2022, di mana ada malapetaka. Ini petandanya. Sekarang ini baru ribut kecil, ribut besar akan melanda nanti. Itu yang berlaku di Komanwel Gold Coast, kita gagal dan implikasinya kepada Sukan Asia tahun yang sama," katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Ujarnya, penunjuk itu perlu difahami semua pihak jika atlet pelapis tidak cemerlang ada sesuatu yang tidak kena dengan pembangunan akar umbi.

"Selepas ini kita tengok strategi apa yang akan diguna pakai. Selepas mereka mengenal pasti cabaran dari setiap sudut, mereka harus membentangkan apa yang akan dilakukan.

"Sekarang mereka lebih kepada sifat defensif dengan memberi alasan (selepas Sukan Sea Kemboja), mereka perlu ke depan. Apa perlu mereka ubah, perlu dibuat, kerjasama strategik selain Institut Sukan Negara (ISN), kerjasama bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), apakah peranan itu semua.

"Perlu jelas strategi kandungan apa hendak dibuat, selepas mengenal pasti 'gangguan' kepada atlet sehingga tidak capai sasaran emas yang disasarkan," kata Sadek.

Tambahnya, buat masa sekarang semua pihak tidak boleh hanya menumpu kepada Sukan Sea sahaja, kerana ada temasya lebih besar seperti Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik.

"Sasaran ke arah itu (temasya besar) kena lihat strategi kandungan, laporan permasalahan yang timbul. Sepatutnya mereka sudah memberitahu apa yang hendak dibuat kerana mempunyai jawatankuasa dalam memberi dan mengutarakan cadangan.

"Bagaimana mereka hendak bergerak ke hadapan, apakah strategi, siapa bakal main peranan dan mengetuainya. Mereka perlu duduk bincang secara holistik mengenai perancangan dari Sukan Sea sehingga ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.

"Antara Sukan Sea 2025 hingga 2027 akan ada Sukan Asia dan Komanwel di tengah-tengah, fokus betul-betul sehingga 2028, kelemahan prestasi ada hubung kait sehingga Olimpik Los Angeles. Kita bukan hanya menyasarkan untuk jadi juara Sukan Sea apabila menjadi tuan rumah (2027) tetapi gagal di temasya lebih besar," katanya.

Tiada ulasan: