"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Enggan tadah tangan doa buat sultan dan Agong, ahli PAS mohon maaf

FMT Reporters
Hezry Yasin dalam hantaran yang dipadamkan, antara lain menyatakan akan ‘menurunkan tangan’ ketika doa buat sultan atau Agong semasa khutbah Jumaat. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Individu memuat naik hantaran berhubung “doa buat sultan/Agong” Jumaat lalu, Hezry Yasin memohon maaf atas tindakannya dan sedia memberikan kerjasama, jika disiasat pihak berkuasa.

Menurutnya, penulisan itu “pandangan peribadi” dan beliau tiada niat menghina institusi diraja.

“Apa-apa pun, sekali lagi saya mohon maaf buat semua dan saya tidak menafikan doa untuk sesama Muslim itu sangat baik,” katanya dalam catatan Facebook.

Dalam entri dipadamkan, Hezry yang juga ahli PAS antara lain menyatakan dia tidak menadah tangan ketika doa dibacakan untuk sultan atau Agong semasa solat Jumaat pada 12 April lalu.

“Namun, ketika doa buat sultan/Agong dan keluarga, saya menurunkan tangan. Dan kembali menadahkan tangan selepas doa buat mereka (rakyat Islam),” katanya.

Beliau juga mendakwa doanya hanya diberikan kepada pemimpin yang meletakkan agama nombor satu dan memperjuang serta mempertahankan Islam ketika agama diancam.

Sementara itu, Setiausaha Pemuda PAS Selangor, Aubidullah Fahim menyifatkan kenyataan Hezry tidak mewakili parti itu dan bertentangan dasar perjuangan mereka.

Beliau turut menafikan Hezry memegang jawatan dalam sayap PAS negeri.

“Justeru, segala kenyataan beliau tidaklah mewakili Pemuda PAS Selangor atau mana-mana entiti dalam PAS,” katanya dalam kenyataan.

Pemuda PAS Selangor turut menyerahkan perkara tersebut kepada Jawatankuasa Tatatertib untuk mengambil sebarang tindakan, sekiranya Hezry melanggar disiplin parti.

“Bagi melunasi proses undang-undang, Pemuda PAS Selangor memberi sepenuh kepercayaan kepada polis menjalankan siasatan selanjutnya.”

Tiada ulasan: