"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengarah syarikat swasta dakwa ditipu kakitangan institusi kewangan RM1.2 juta

Mary Victoria Dass
am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Seorang pengarah syarikat swasta mendakwa kerugian RM1.2 juta akibat diperdaya kakitangan sebuah institusi kewangan yang menawarkan peluang pelaburan menerusi skim simpanan tetap yang kononnya menjanjikan pulangan lumayan.

Ketua Polis Johor Komisioner M Kumar berkata, mangsa yang berusia 62 tahun membuat laporan polis kelmarin selepas menyedari penipuan berkenaan.

Beliau berkata, lelaki itu mendakwa menjadi mangsa penipuan tawaran skim simpanan tetap dikenali sebagai 'share booster'.

Katanya, suspek yang juga warga tempatan turut menjanjikan dan meyakinkan mangsa bahawa skim berkenaan menawarkan pulangan yang lebih tinggi berbanding di institusi kewangan lain.

"Mangsa menyerahkan cek pembayaran kepada suspek berjumlah RM1.8 juta. Pada awal Jun ini, mangsa menghubungi suspek dengan hasrat mahu mengeluarkan faedah atas simpanan tetap terbabit.

"Suspek didapati memberikan pelbagai alasan tidak munasabah dan mencurigakan hingga mangsa bertindak membuat semakan di institusi kewangan terbabit," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati beberapa cek bayaran yang diserahkan kepada suspek tidak didepositkan ke dalam akaun milik mangsa, sebaliknya dimasukkan ke lain-lain akaun atas penama yang tidak kenali.

"Hanya RM600,000 dimasukkan ke akaun mangsa hingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian RM1.2 juta.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 409 kanun sama," katanya.

Tiada ulasan: