Siti Rohana Idris
bhnews@bh.com.my
Imam tua Masjid Al-Ahmadiah Mukim Pulau Teluk Renjuna, Mohd Amin Zulkahar Saari, 35, melepaskan tali yang mengikat botnya di jeti Kok Majid untuk ke masjid. - Foto /SITI ROHANA IDRIS
TUMPAT: Sejak sembilan tahun lalu, Mohd Amin Zulkahar Saari berulang alik setiap hari meredah Sungai Kelantan ke masjid di Kampung Teluk Renjuna di delta Sungai Kelantan.
Sejak menggalas tugas sebagai imam tua Masjid Al-Ahmadiah Mukim Pulau Teluk Renjuna, rutinnya bermula awal pagi sebelum azan Subuh.
Mohd Amin Zulkahar, 35, berkata beliau akan memandu kereta bermula dari rumahnya di Kampung Jubakar Pantai menuju ke jeti Kok Majid iaitu sejauh kira-kira 15 kilometer.
Selepas parkir kereta, beliau ke jeti dan mengemudi sendiri bot milik Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk perjalanan 10 minit ke masjid.
"Saya akan berada di masjid untuk solat lima waktu dan selepas Isyak, saya kembali ke tanah besar dan pulang ke rumah," katanya ditemui di sini.
Mohd Amin Zulkahar berkata, walaupun bukan anak jati pulau, beliau mampu mengendalikan bot dengan baik termasuk membaiki kerosakan kecil.
Menjelang musim tengkujuh, tanggungjawab beliau sebagai imam di masjid berkenaan tidak terhalang walaupun perlu meredah arus sungai yang deras.
Seakan sudah biasa dengan situasi itu Mohd Amin Zulkahar berkata beliau hanya perlu membawa pakaian lebih sahaja kerana mungkin basah atau terkena kotoran sepanjang perjalanan menaiki bot menuju ke Teluk Renjuna.
"Cuma jika hujan pada waktu malam dan kerap, saya terpaksa turun awal pagi dari rumah ke jeti untuk menimba air yang memenuhi bot.
"Jika dibiarkan, mungkin bot akan tenggelam serta rosak dan menyebabkan kos yang besar untuk pembaikan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan