Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my

PENGUAT kuasa menyerbu sebuah yang didiami duda dan janda yang disyaki bersekedudukan. FOTO Ihsan JAINJ.
Kluang: Lima tahun bersekedudukan hingga melahirkan dua anak tidak sah taraf.
Itulah pembongkaran mengejutkan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas menyerbu sebuah rumah dalam daerah ini tengah malam, semalam.
Serbuan dilakukan pada jam 12 tengah malam, hasil maklumat awam, menemukan pasangan lelaki dan wanita berstatus janda dengan kedua-duanya berusia 30-an serta dua kanak-kanak dalam rumah terbabit.
Menurut JAINJ, pasangan ini tinggal di rumah sewa sejak lima tahun lalu dan kehidupan mereka berdua bagaikan suami isteri.
Katanya, wanita itu pernah bernikah di luar negara sebelum ini namun dia ditinggalkan suami terdahulu.
"Sepanjang tempoh mereka tinggal bersama, penguat kuasa tidak menerima aduan mengenai kedudukan pasangan terbabit.
"Penguat kuasa JAINJ mengambil keterangan pasangan itu untuk siasatan lanjut. Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 23 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.
"Hukumannya adalah denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara atau sebatan ataupun ketiga-tiga hukuman terbabit, jika didapati bersalah," katanya.
Dalam kes berasingan pula, helah lelaki berstatus duda kononnya membaiki paip tidak menjadi apabila dicekup kerana disyaki berkhalwat dengan janda di sebuah rumah, tengah hari semalam.
JAINJ berkata, sepasukan penguat kuasa tiba di lokasi pada jam 12 tengahari dan mendapati kereta lelaki terbabit di parkir tidak jauh dari rumah wanita itu.
"Kira-kira 10 minit selepas pintu diketuk, wanita berusia 30-an keluar manakala lelaki berusia 50-an berada di dapur rumah wanita itu.
"Hasil pemeriksaan, penguat kuasa JAINJ mendapati hanya mereka berdua berada dalam rumah terbabit. Ketika tangkapan dibuat, anak wanita itu tiada di rumah.
"Ketika disoal siasat, lelaki itu mengatakan dia datang ke rumah wanita ini untuk membaiki paip mesin basuh rosak.
"Dakwaan itu tidak berasas kerana mesin basuh ketika itu sedang digunakan untuk membasuh baju.
"Lelaki ini sempat menunjukkan beberapa spanar diambil dari laci dapur namun penguat kuasa perasan, spanar itu bukan untuk buka paip tapi untuk kegunaan lain," katanya.
Malah, katanya lagi, lelaki itu cuba melarikan diri namun penguat kuasa bertindak pantas menghalangnya.
Menurutnya, pasangan ini ditangkap dan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen sama dengan denda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan