Disyaki terbabit sindiket 'counter setting', 27 individu termasuk 18 pegawai agensi penguat kuasa direman
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my

ANTARA individu termasuk pegawai agensi penguat kuasa yang ditahan reman. FOTO Ihsan SPRM
Kuala Lumpur: Seramai 27 individu termasuk 18 pegawai agensi penguat kuasa ditahan reman kerana disyaki terbabit dengan sindiket counter setting bagi melepaskan warga asing masuk ke Malaysia tanpa mengikut prosedur.
Permohonan reman dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor; Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka; Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan dan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.
Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman membenarkan 13 individu membabitkan empat pegawai agensi penguat kuasa, lima pemilik syarikat, seorang pengurus syarikat dan tiga orang awam lain direman selama tiga hari sehingga 12 September ini.
Manakala Majistret Uthman Abd Ghani membenarkan tiga pegawai agensi penguat kuasa direman selama empat hari sehingga 13 September ini serta dua lagi selama lima hari sehingga 14 September.
Sementara itu, Majistret Sara Afiqah Zulkipli membenarkan lapan pegawai agensi penguat kuasa direman selama tujuh hari sehingga 16 September ini manakala Majistret S Arunjothy membenarkan seorang lagi pegawai agensi penguat kuasa direman selama lima hari sehingga 14 September.
Menurut sumber, semua suspek yang terdiri daripada 19 lelaki dan lapan wanita berusia lingkungan 20 hingga 50-an ditahan menerusi operasi di sekitar Selangor, Melaka, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan pada Selasa.
"Suspek yang ditahan disyaki terbabit sindiket counter setting , mereka dipercayai memberi dan menerima wang rasuah sebagai balasan untuk memudahkan urusan kemasukan warga negara asing ke negara ini tanpa menerusi prosedur yang ditetapkan.
"Susulan operasi itu juga SPRM menyita wang tunai lebih RM200,000, beberapa unit barangan kemas, kepingan emas, kereta, motosikal, beg tangan, jam tangan dan peranti telekomunikasi," katanya.
Semalam, Bahagian Perisikan SPRM menjalankan operasi di Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor menerusi Op Rentas.
Susulan operasi itu juga, seramai 30 individu ditahan dan SPRM turut membekukan 40 akaun perbankan membabitkan 34 akaun individu dan enam akaun syarikat dengan nilai lebih RM1 juta.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan