27 kes kebakaran kenderaan EV, hibrid direkod - Aiman Athirah
Bernama
Aiman Athirah berkata meskipun penggunaan EV dilihat mampu mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil dan lebih mesra alam, kenderaan jenis itu masih berisiko tinggi untuk terbakar.
KUALA LUMPUR: Sebanyak 27 kes kebakaran membabitkan kenderaan elektrik (EV) dan hibrid direkodkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari 2023 hingga Julai lepas, dengan purata 10 kes setahun di seluruh negara.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata meskipun penggunaan EV dilihat mampu mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil dan lebih mesra alam, kenderaan jenis itu masih berisiko tinggi untuk terbakar.
"JBPM berpandangan kebakaran EV merupakan antara cabaran besar kerana ia berisiko tinggi ketika operasi pemadaman.
"Kaedah pemadaman menggunakan selimut api atau fire blanket merupakan antara langkah terbaik memadamkan kebakaran kenderaan elektrik selain menggunakan air dan buih," katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Ahmad Ibrahim yang ingin mengetahui sama ada kementerian bercadang untuk membeli dan membekal fire blanket kepada semua balai bomba di bandar utama susulan peningkatan kes kebakaran kereta elektrik dan hibrid kebelakangan ini.
Mengulas lanjut, Aiman Athirah memaklumkan sebanyak 318 unit fire blanket bernilai RM915,000 telah diperoleh JBPM pada tahun ini untuk diagihkan ke balai bomba terpilih di seluruh negara.
"JBPM juga telah mendapatkan sumbangan sebanyak 30 unit fire blanket lagi daripada Persatuan Kenderaan Beremisi Sifar (MyZEVA) yang diagihkan secara berperingkat bermula Disember 2024 hingga 13 Mei lepas," katanya.
Beliau berkata JBPM juga sedang mengkaji penggunaan peralatan khas lain termasuk agen penyejukan atau immersion container sebagai alternatif dalam operasi pemadaman kenderaan elektrik.
"Pada masa ini, agen penyejukan yang digunakan JBPM untuk pemadaman kenderaan elektrik ialah air, yang bertujuan mengurangkan tahap kepanasan bateri sekali gus mengelakkan api daripada menjadi lebih besar dan merebak ke kawasan lain.
"Penggunaan agen penyejuk lain seperti serbuk kering, agen pembersih dan gas lengai adalah tidak sesuai digunakan di kawasan terbuka kerana ia memerlukan konsep total flooding untuk berfungsi dengan berkesan," katanya menjawab soalan tambahan Ahmad berkenaan kaedah pemadamam kebakaran kenderaan EV yang lain.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan