Kalbana Perimbanayagam dan Zahratulhayat Mat Arif
am@hmetro.com.my

Polis menahan enam individu susulan penemuan mayat seorang wanita dalam kenderaan milik lelaki yang menikam dan menembak seorang anggota polis di Simpang Pulai awal pagi tadi. GAMBAR IHSAN PEMBACA
Ipoh: Polis menahan enam individu susulan penemuan mayat seorang wanita dalam kenderaan milik lelaki yang menikam dan menembak seorang anggota polis di Simpang Pulai awal pagi tadi.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin ketika dihubungi berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita.
"Suspek yang ditahan termasuk ahli keluarga suspek utama. Siasatan masih dijalankan bagi menentukan peranan mereka dalam kes ini," katanya.
Beliau mengesahkan identiti mangsa wanita berusia 62 tahun sudah dikenal pasti, manakala hasil bedah siasat mendedahkan mangsa meninggal dunia akibat punca berkaitan sesak nafas.
Noor Hisam turut menjelaskan bahawa kenderaan pelbagai guna (MPV) yang digunakan suspek bukan kenderaan curi.
"Kami masih menyiasat punca kejadian serta hubungan antara suspek dengan wanita yang sudah meninggal dunia itu," katanya sambil menambah suspek yang menembak anggota polis berkenaan masih bebas.
Terdahulu dilaporkan seorang anggota polis cedera selepas ditikam dan ditembak di bahagian perut oleh suspek yang memandu MPV berkenaan.
Kejadian berlaku pada jam 1.15 pagi apabila pasukan dari Balai Polis Simpang Pulai mengesan seorang lelaki mencurigakan dalam sebuah MPV di Taman Desa Pakatan ketika rondaan cegah jenayah.
Suspek memecut sebaik anggota polis menghampirinya, sebelum berlaku aksi kejar-mengejar sehingga MPV berkenaan berhenti berhampiran ladang kelapa sawit.
Ketika cubaan menahannya, berlaku pergelutan antara suspek dengan salah seorang anggota polis.
Suspek kemudian merampas pistol perkhidmatan anggota berkenaan dan melepaskan tembakan yang mengenai perutnya.
Koperal berusia 26 tahun itu turut ditikam sebelum suspek melarikan diri bersama senjata api tersebut.
Noor Hisam berkata, anggota polis terbabit kini dalam keadaan stabil dan menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun.
Difahamkan, mayat wanita berkenaan ditemui di bahagian tempat duduk belakang MPV dengan kepalanya ditutup menggunakan beg plastik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan