Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my

KENDERAAN mangsa jatuh ke dalam Sungai Panchor berjaya dinaikkan menggunakan kren. FOTO ihsan BOMBA
Muar: Selepas hampir 12 jam operasi mencari dan menyelamat (SAR), mangsa kereta terjunam ke dalam Sungai Panchor, di sini, petang semalam, ditemukan lemas.
Mangsa, Mud Husni Mahmud, 47, ditemukan di dalam kereta itu sebaik kenderaan berkenaan berjaya dinaikkan pasukan penyelamat dengan menggunakan kren, pada 1 pagi tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Nor Alfatah Omar berkata, pada 10.21 malam, Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) menemukan kenderaan itu pada jarak kira-kira 50 meter (m) dari tebing pada kedalaman 15 m sebelum kerja-kerja menaikkan kereta dijalankan.
"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada 1.38 pagi," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, terdahulu, maklumat awal saksi menyatakan terdapat seorang mangsa yang juga pemandu berada dalam kenderaan berkenaan.
"Operasi pencarian (kemudian) dijalankan menggunakan bot dan teknik surface searching," katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, 20 anggota dari beberapa balai termasuk BBP Pagoh, BBP Muar dan BBP Skudai terbabit dalam SAR berkenaan, dengan kekuatan dua bot fiber serta beberapa jentera sokongan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan