Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my

PENGUATKUASA JAINJ menyerbu sebuah inap desa. FOTO ihsan JAINJ
Batu Pahat: Seorang janda sempat menggapai selimut bagi menutupi tubuhnya selepas sebuah inap desa di daerah ini diserbu pegawai dan anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kerana disyaki berkhalwat, semalam.
Wanita berusia 40-an itu ditemukan dalam keadaan hanya berselimut ketika bersembunyi dalam tandas dalam operasi pencegahan maksiat pada 10 pagi.
Menurut JAINJ, ketika serbuan dilakukan wanita terbabit didapati berdua-duaan dengan lelaki berstatus 'datuk' berusia 60-an di inap desa itu.
"Sebaik melalui taman perumahan, penguatkuasa membuat keputusan untuk memeriksa sebuah inap desa. Secara kebetulan, terdapat kereta seolah-olah ada penyewa di premis itu.
"Pada masa sama, penguatkuasa mendapati pendingin hawa terpasang dan inap desa itu mengenakan bayaran serendah RM60. Penguatkuasa mengetuk pintu dan seorang lelaki berumur senja berseluar panjang dan baju T membukanya.
"Apabila ditanya dia bersama siapa dalam bilik, lelaki memberitahu berseorangan namun penguatkuasa sudah dapat menghidu ada orang lain bersamanya," katanya dalam kenyataan.
Katanya lagi, penguatkuasa kemudia mendapati pintu tandas tertutup dan berkunci dari dalam dan pemeriksaan mendapati terdapat seorang wanita hanya menutupi tubuh dengan selimut.
"Apabila ditanya hubungan mereka, wanita itu menjawab lelaki terbabit adalah rakan dan mereka kenal sudah lama memandangkan berjiran. Rumah lelaki itu terletak kira-kira 30 kilometer dari inap desa ini.
"Lelaki masih berstatus suami orang sudah mempunyai ramai cucu manakala wanita itu, janda ada anak. Wanita ini pernah dua kali bernikah sebelum ini namun kedua-duanya berpisah.
"Mereka mendaftar masuk inap desa pada 9.30 pagi sebelum dicekup 30 minit selepas itu. Lelaki itu juga memberi alasan mereka bersama berbincang hal berkaitan perniagaan.
"Malah, lelaki juga berhasrat untuk menjadikan wanita itu sebagai isteri kedua namun disebabkan kekangan membataskan niatnya itu," katanya.
Katanya, pasangan itu ditahan dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut dan akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan