Fahmi Tajuddin
KOTA BELUD: Pertandingan 11 penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang ke-17, disifatkan sebagai memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).
Calon BN bagi kerusi itu, Tadzul Radim, berkata perpecahan berkait Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kawasan terbabit yang menyaksikan penyandangnya, Datuk Fairuz Renddan (dulu mewakili GRS) bertanding sebagai calon Bebas, manakala Tan Sri Pandikar Amin pula sebagai calon GRS, membuka ruang kepada BN untuk menarik sokongan.
“Peluang kita (BN) begitu baik sebab terdapat pertandingan 11 penjuru di kerusi DUN Pintasan dan sebagaimana sedia maklum, GRS berpecah disebabkan penyandangnya serta pemimpin senior bertelagah,” katanya.
Tadzul berkata, BN akan memberi tumpuan kepada pengundi setia parti itu, selain berpotensi meraih undi daripada kelompok yang kecewa dengan kem lawan.
Beliau turut yakin pola sokongan pengundi kali ini memihak kepada BN, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam saingan PRN kali ini.
Mengulas pembangunan setempat pula, Tadzul berkata, Pintasan memiliki potensi besar, terutama dalam sektor ekopelancongan yang kini mula berkembang pesat.
Beliau berkata, kawasan itu mempunyai pelbagai tarikan semula jadi, termasuk pantai yang cantik, pemandangan Gunung Kinabalu, pulau, sawah padi dan lokasi menyaksikan matahari terbenam yang menjadi tumpuan pelancong.
Malah, katanya, semakin banyak resort dan jeti pelancongan muncul di kawasan itu, dengan kedatangan pelancong asing khususnya dari China serta Korea, semakin meningkat, sekali gus menunjukkan potensi besar kepada ekonomi setempat.
“Ini peluang baik kepada penduduk. Jika BN diberikan mandat, kita mahu memastikan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik diberikan keutamaan kerana tiga isu ini masih menjadi cabaran utama di Sabah,” katanya.
Tadzul turut menekankan keperluan memperkukuhkan pembangunan sumber manusia di Pintasan, termasuk melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Beliau berkata, kawasan itu masih kekurangan peluang pekerjaan, justeru pengukuhan sektor pelancongan dan peningkatan kemahiran belia amat diperlukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan