Zaid Salim
Anggota Pertahanan Awam (APM) membantu memindahkan warga emas yang menghidap penyakit Lumpuh, Asmadi Ahmad, 48 selepas kediaman mereka dilanda banjir di Kampung Surau Yaakub – Foto NSTP
KUALA TERENGGANU: Mangsa banjir di negeri ini terus meningkat apabila seramai 10,469 orang daripada 3,055 keluarga direkodkan berada di 126 pusat pemindahan sementara (PPS) di semua lapan daerah terjejas banjir setakat jam 8 pagi ini.
Daripada jumlah itu, Kemaman mencatatkan mangsa seramai 2,498 daripada 665 keluarga yang ditempatkan di 27 PPS sekali gus menjadikan daerah itu paling teruk terjejas banjir.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan, tiga daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu turut menunjukkan pertambahan jumlah mangsa yang dipindahkan.
Di Kuala Terengganu, mangsa yang berada di sembilan PPS meningkat kepada 1,610 (588 keluarga) berbanding 1,446 (530 keluarga) jam 12 tengah malam tadi.
Kuala Nerus pula mencatatkan mangsa seramai 1,594 (501 keluarga) berbanding 1,395 mangsa (442 keluarga) yang ditempatkan di 15 PPS.
Manakala di Hulu Terengganu, seramai 676 mangsa (177 keluarga) berada di 14 PPS berbanding 513 mangsa daripada 138 keluarga yang direkodkan jam tengah malam tadi.
Daerah Marang menunjukkan penurunan daripada 2,074 mangsa (577 keluarga) kepada 2,011 orang daripada 563 keluarga di 16 PPS.
Di Setiu, mangsa yang dipindahkan adalah seramai 1,298 daripada 365 keluarga berlindung di 28 PPS.
Dungun pula mencatatkan seramai 708 mangsa daripada 166 keluarga berada di sembilan PPS.
Manakala jumlah mangsa dipindahkan di Besut kekal dengan 74 orang daripada 30 keluarga di enam PPS.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan