"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Banjir: Beberapa jalan utama di Shah Alam ditutup sepenuhnya

BERNAMA

Shah Alam: Beberapa laluan utama di sekitar bandar raya ini ditutup sepenuhnya selepas paras air meningkat susulan hujan lebat berterusan sejak petang semalam.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam hantaran di Facebook memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menutup laluan di Jalan Seksyen 19, Seksyen 24 menghala ke Seksyen 23, Persiaran Jubli Perak dan Persiaran Perusahaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

Selain itu, MBSA memaklumkan Jalan Persiaran Jubli Perak berhadapan bangunan Jabatan Kerja Raya Selangor di Seksyen 17 turut ditutup selepas dinaiki air.

"Orang ramai dinasihatkan berhati-hati, menggunakan laluan alternatif serta mematuhi arahan pihak berkuasa," menurut hantaran itu.

Hujan lebat berterusan turut menyaksikan beberapa lokasi di daerah ini dinaiki air, termasuk Taman Desa Kemuning, Seksyen 35, Kampung Budiman, Seksyen U14, Persiaran Jubli Perak, Seksyen 19, Taman Seri Muda serta Padang Jawa, Seksyen 16.

Sebagai langkah keselamatan, anggota Pasukan PANTAS MBSA turut menjalankan pemantauan di beberapa kawasan tumpuan banjir seperti Sungai Damansara, Seksyen 13, dan pemeriksaan mendapati berlaku kenaikan paras air tetapi pam berfungsi dengan baik.

MBSA meminta orang ramai menghubungi Pasukan PANTAS di talian 03-55105811 untuk sebarang kecemasan atau bantuan segera akibat banjir.

Setakat 3.30 petang tadi, seramai 327 mangsa daripada 109 keluarga di lima daerah terjejas di Selangor ditempatkan di lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Tiada ulasan: