"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Shamsul, Tei bergari dibawa ke mahkamah

Harapandaily

Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, dan ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei, bergari ketika dibawa ke Kompleks Mahkamah Putrajaya di sini, hari ini.
Berbaju lokap berwarna oren oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Shamsul, 51, dan Tei, 37, yang dibawa dengan van tiba pada jam 9 pagi untuk pendengaran permohonan reman.

Mereka diperlukan bagi membantu siasatan dakwaan berkait klip video memaparkan perbualan antara seorang wanita dikenali sebagai Sofia Rini Buyong dengan Albert.
Sejurus dibawa keluar dari van itu, Tei yang berada di hadapan menjerit mendakwa tindakan berkenaan memalukannya dan menghina negara.

Sementara itu, Shamsul yang juga bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya (2018-2022) dan bekas Ahli Parlimen Bukit Katil (2013-2018) tiada berkata apa-apa sepanjang melangkah masuk ke dalam mahkamah.

Pada 26 November lalu, Shamsul yang pernah dilantik sebagai Naib Presiden PKR mengesahkan sudah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi kenyataan di platform X, Shamsul berkata, wujud percubaan untuk menyerang dirinya dengan perkara yang boleh merosakkan imej kerajaan Madani.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan Tei ditahan kerana menjadi individu paling penting dalam siasatan dakwaan membabitkan Shamsul Iskandar.

Menurutnya, SPRM telah menyerahkan notis di bawah Seksyen 28A(9) Kanun Prosedur Jenayah kepada Tei, yang membolehkan pihak penyiasat menafikan hak individu disiasat untuk berhubung dengan peguam atau mana-mana pihak lain.

Bermula semalam juga, Sofia Rini direman selama empat hari hingga 1 Disember ini.

Tiada ulasan: