Harapandaily
Pas berdepan risiko kekalahan sekurang-kurangnya di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) dilaksanakan, kata bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Mahiaddin Yassin, Marzuki Mohamad.
Menurutnya, analisis data keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) serta trend beberapa PRK sebelum ini menunjukkan corak pengundian semakin memihak kepada kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Bagi DUN Chuping, Marzuki berkata, calon Perikatan Nasional (PN) daripada Pas pada PRU15 memperoleh 5,873 undi, mengatasi calon BN yang meraih 3,453 undi manakala calon PH dengan 1,602 undi, sekaligus menang dengan majoriti 2,420 undi.
“Kemenangan calon PN dari parti Pas sebahagian besarnya disebabkan oleh gelombang sokongan Melayu kepada PN pada PRU15 dan perpecahan undi antara BN dan PH.
“Ketika ini gelombang PN dalam PRU-15 telah surut dan trend beberapa PRK sebelum ini menunjukkan undi BN dan PH adalah ‘transferable’,” jelasnya yang menyambut baik keputusan Pas untuk tidak mengadakan PRK bagi tiga kerusi terbabit iaitu Chuping, Guar Sanji dan Bintong.
Beliau berpendapat jika BN meletakkan calon melawan Pas, penyokong PH akan ‘solid’ menyokong calon BN sepertimana yang ditunjukkan dalam PRK Mahkota dan Ayer Kuning.
“Jika berlaku 100% perpindahan undi PH kepada BN, majoriti calon PN di kerusi ini akan berkurang kepada hanya 818 undi sahaja.
“Dengan kemelut yang sedang melanda PAS di Perlis, hubungan dingin parti itu dengan istana Perlis dan trend kembalinya penyokong UMNO mengundi UMNO semula, 818 undi ini berkemunginan boleh melayang dengan mudah,” katanya.
Bertindak rasional
Dalam masa sama, Marzuki turut menolak anggapan bahawa pertelagahan terbuka antara UMNO dan DAP berhubung isu pengampunan Datuk Seri Najib Razak akan memberi kelebihan kepada Pas jika PRK diadakan.Buku biografi Najib
Ujarnya, meskipun wujud perang mulut antara UMNO dan DAP, kedua-dua parti akan bertindak secara rasional demi kepentingan mengekalkan Kerajaan Perpaduan.
“Bagi DAP/PH apa pun perang mulut antara parti itu dan UMNO, mereka akan tetap menyokong calon UMNO dalam pilihan raya.
“Ini kerana menyokong UMNO bermaksud mengekalkan Kerajaan Perpaduan. Mengekalkan Kerajaan Perpaduan bermaksud mengekalkan DAP/PH di tampuk kuasa.
“Jadi, menyokong calon UMNO adalah pilihan rasionaL DAP/PH,” katanya.
Beliau menambah, UMNO juga akan mengambil pendekatan rasional dengan mengendurkan ketegangan bersama DAP dan PH bagi memastikan kemenangan dalam PRK, yang disifatkannya penting dalam usaha pemulihan parti selepas prestasi terburuk pada PRU15.
Mengulas senario pengundian di DUN Bintong pula, Marzuki berkata calon Pas memperoleh 7,325 undi pada PRU15, berbanding BN 2,996 undi dan PH 2,029 undi.
Gabungan undi BN dan PH berjumlah 5,025 undi, menjadikan perbezaan dengan PN hanya sekitar 2,300 undi.
“Undi asas Pas di Bintong dalam PRU14 hanyalah 2,695 manakala undi asas BN 3,986. Ini bermakna dalam PRU15 hampir 1,000 undi BN beralih kepada PN.
“Jika 1,000 undi BN ini kembali kepada BN seperti trend yang ditunjukkan dalam beberapa PRK sebelum ini, kerusi ini juga berada dalam situasi yang amat bahaya,” ulasnya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan UMNO mempunyai peluang realistik untuk memenangi sekurang-kurangnya dua daripada tiga kerusi DUN berkenaan jika PRK diadakan.
Dalam masa sama, Marzuki menyifatkan tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis menghantar notis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengadakan PRK sebagai langkah yang terlalu tergesa-gesa.
“Bagi saya Pas ‘jump the gun’ apabila Speaker Perlis menghantar notis kepada SPR untuk mengadakan PRK,” tambahnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan