Bernama
KOTA BHARU: Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) mengeluarkan ramalan awal banjir bagi Kelantan berikutan amaran hujan berterusan (waspada) dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) JPS, memaklumkan banjir dijangka berlaku antara 5 hingga 8 Jan di 10 jajahan, melibatkan beberapa lembangan sungai utama di negeri itu.
Jajahan terlibat ialah Tumpat, Pasir Mas, Bachok, Machang, Kota Bharu, Pasir Puteh, Jeli, Tanah Merah, Kuala Krai, dan Gua Musang, melibatkan antaranya Lembangan Sungai Kelantan, Sungai Golok, Sungai Semerak, Sungai Kemasin, Sungai Lebir, Sungai Galas, dan Sungai Nenggiri.
“JPS akan melaksanakan pemantauan berterusan akan hebahan amaran banjir akan dikemas kini sekiranya hujan signifikan berterusan di lembangan sungai terlibat. Banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada tarikh yang dijangkakan,” menurut kenyataan itu.
Justeru, semua agensi pengurusan bencana serta penduduk, khususnya di kawasan berisiko diminta berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa.
Orang ramai juga disarankan mendapatkan maklumat dan amaran semasa melalui portal publicinfobanjir.water.gov.my atau laman Facebook PublicInfoBanjir.
Hari ini, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan (waspada) susulan jangkaan hujan berpanjangan di beberapa negeri bermula minggu hadapan.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, hujan berterusan dijangka berlaku di Kelantan dan Terengganu bermula 5 hingga 8 Jan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan