KDN buka tempoh khas mohon kuota pekerja asing mulai 19 Jan
2 mins ago
Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membuka tempoh khas untuk menerima permohonan kuota penggajian pekerja asing bagi 2025, bermula 19 Jan hingga 31 Mac 2026.
KDN memaklumkan, permohonan kuota sedia ada masih diterima sehingga tarikh akhir yang ditetapkan sebelum ini, iaitu 31 Dis 2025.
Menurut KDN dalam kenyataan, tempoh khas itu melibatkan permohonan bagi semua sektor dan subsektor yang telah diluluskan kerajaan pada 1 Okt 2025, serta mematuhi kriteria kelayakan yang ditetapkan termasuk permohonan penggajian tenaga kerja asing bagi sektor perkhidmatan di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang sebelum ini ditutup lebih awal.
Semua permohonan yang diterima sepanjang tempoh khas itu akan dibincangkan bersama kementerian menyelia yang terbabit untuk pertimbangan dan tertakluk kepada syarat-syarat penggajian pekerja asing yang lain.
“KDN juga ingin mengingatkan semua majikan agar mengemukakan permohonan secara terus tanpa pengantaraan ejen atau pihak ketiga di Pusat Sehenti Pengurusan Pekerja Asing, KDN,” kata kementerian.
Bagi melancarkan urusan permohonan dalam tempoh khas itu, temu janji hendaklah dibuat terlebih dahulu melalui sistem yang boleh diakses menerusi laman sesawang rasmi KDN bermula 16 Jan 2026.
“Kemudahan tempoh khas ini diharap dapat membantu majikan mengemukakan permohonan penggajian pekerja asing secara teratur dan terancang,” kata KDN.
“Langkah ini selaras dengan iltizam Kerajaan Madani untuk terus peka terhadap keperluan industri serta komitmen meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan