"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pas nafi suka ‘berpoligami politik’, salahkan parti lain punca gabungan gagal

Harapandaily

Pas menafikan dakwaan kononnya parti itu sukar bekerjasama dalam gabungan politik serta gemar melakukan ‘poligami politik’.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kenyataan tersebut yang dilontarkan oleh Dr. Mohammad Tawfik Yaakub, dalam Wacana Sinar bertajuk “Kemelut Politik Perlis dan Hidup-Mati PN” bukan sahaja tidak berasaskan fakta, malah bercanggah dengan dapatan akademik pensyarah Universiti Malaya (UM)berkenaan.

Menurutnya, tesis PhD Dr. Tawfik bertajuk “Kerjasama Politik Melayu-Islam: Analisis Hubungan UMNO–Pas dari Tahun 1968 hingga 1978” yang diperoleh dari UM pada 2018 jelas merekodkan bahawa Pas tidak pernah memulakan perpecahan dalam mana-mana gabungan politik.

Ahmad Fadhli berkata, penyingkiran Pas daripada Barisan Nasional (BN) pada 1977 bukan kerana Pas enggan bekerjasama, sebaliknya akibat tindakan UMNO yang menyingkirkan Pas selepas parti itu mempertahankan mandat rakyat Kelantan.

Beliau merujuk krisis politik Kelantan 1977, termasuk pengisytiharan Darurat Kelantan oleh kerajaan Persekutuan, yang ditentang Pas atas dasar prinsip, sekali gus membawa kepada penyingkiran parti itu daripada BN.

Mengulas mengenai blok Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR), Ahmad Fadhli berkata Pas kekal dalam kedua-dua gabungan tersebut sehingga rakan gabungan sendiri memilih untuk menarik diri.
Hubungan Pas dan Bersatu kini dilihat tajam susulan krisis dalam kesepakatan PN Perlis.
Menurutnya, DAP secara unilateral keluar daripada BA pada 2001 selepas gagal memaksa Pas menggugurkan prinsip penegakan negara Islam, manakala dalam PR pula, DAP sendiri mengakui mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan PAS.

“Pengakuan terbuka pimpinan DAP membuktikan Pas bukan pihak yang memulakan perpecahan, tetapi menjadi mangsa naratif songsang selepas pakatan tersebut berkubur,” katanya.

Siri pengkhianatan

Dalam masa sama, Ahmad Fadhli turut menjelaskan bahawa pemutusan hubungan Pas dengan Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) hanya berlaku selepas berlakunya siri pengkhianatan dan pelanggaran syarat tahaluf oleh parti tersebut.

Begitu juga dengan PKR, katanya, hubungan diputuskan pada 2017 selepas parti itu melanggar syarat tahaluf termasuk menentang agenda Islam Pas serta bekerjasama dengan pihak yang cuba menjatuhkan Kerajaan PAS Kelantan.

Mengulas mengenai kegagalan Muafakat Nasional (MN), Ahmad Fadhli menegaskan ia bukan berpunca daripada Pas, sebaliknya akibat keengganan UMNO menerima penyertaan Bersatu walaupun persetujuan awal telah dicapai.

“Pas kekal konsisten dengan perjanjian dan terbuka menerima Bersatu, namun komitmen itu tidak disambut oleh UMNO,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Fadhli menegaskan, dakwaan bahawa Pas sukar bekerjasama dan berpolitik secara oportunis tidak boleh dipertahankan berdasarkan fakta sejarah.

“Pas malah bertahan paling lama dalam hampir semua pakatan dan hanya berpisah selepas dikhianati atau disingkirkan.

“Jika ketegasan mempertahankan prinsip dianggap ‘ekstrem’, maka yang gagal bekerjasama bukanlah Pas, tetapi rakan-rakan yang mahu Pas berkompromi tanpa had.

“Itu bukan kegagalan Pas, sebaliknya kegagalan politik oportunis memahami makna tahaluf yang berprinsip,” kata Ahmad Fadhli lagi.


Latihan kemahiran kepimpinan
Berita tempatan
Insurans perjalanan
Akses arkib berita
Berita politik terkini
Kursus kewartawanan dalam talian
Analisis pilihan raya
Perkhidmatan penulisan kandungan
© 2026 Harapan Daily . All Rights Reserved

Tiada ulasan: