Malaysiakini
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan memohon maaf kepada bekas menteri hal ehwal agama di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa sebagai antara penyelesaian saman fitnah yang difailkan oleh Mujahid.
Pada satu kenyataan bersama hari ini, kedua pihak berkata mereka memutuskan untuk menyelesaikan perkara itu selepas mempertimbangkan kos prosiding mahkamah, selain mengambil kira “terdapat lebih banyak isu yang lebih besar dan/atau penting yang perlu diberikan perhatian demi kepentingan negara.”
Menurut kenyataan itu, Takiyuddin memohon maaf kepada Mujahid berhubung satu hantaran Facebook PAS yang diterbitkan pada 16 Oktober 2022, ketika dia menjalankan tugas sebagai setiausaha agung parti.
Sebagai balasan, Mujahid menarik balik saman tersebut tanpa sebarang perintah kos dan tanpa kebenaran untuk memfailkan semula saman berkenaan.
“Kedua-dua pihak berharap agar penyelesaian ini diterima dan dihormati oleh semua pihak, serta tidak dijadikan bahan untuk mengganggu-gugat kesejahteraan, perpaduan dan keharmonian negara Malaysia,” kata kenyataan itu.
Mujahid memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kira-kira dua bulan selepas hantaran Facebook berkenaan diterbitkan, pada 15 Disember 2022.
Takiyuddin dinamakan sebagai defendan tunggal dalam kes itu, atas kapasiti dia sebagai setiausaha agung PAS.
Kes itu didengar di hadapan Hakim Roslan Mat Nor.
Bekas menteri itu mendakwa Takiyuddin atau PAS secara berniat jahat memuat naik hantaran dalam talian berkenaan dengan tujuan menjejaskan maruahnya, menerusi dakwaan kononnya dia menyokong komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Hantaran itu turut memberi gambaran Mujahid, ketika memegang jawatan menteri agama di bawah pentadbiran Pakatan Harapan dari Mei 2018 hingga Februari 2020, telah membenarkan, menyokong dan menerima komuniti LGBT.
Mujahid menegaskan sepanjang tempoh dia memegang jawatan tersebut, dia tidak pernah pada bila-bila masa menghalang pihak berkuasa daripada mengambil tindakan terhadap aktivis LGBT atau individu yang terlibat dalam aktiviti LGBT.
Sehingga laporan ini ditulis, hantaran Facebook berkenaan masih kelihatan di laman Facebook rasmi PAS.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan