Pentadbiran negeri akan terbeban jika exco hanya Bersatu – Speaker
SYED AZLAN SAYID HIZAR
KANGAR – Pentadbiran negeri ini dilihat akan terbeban sekiranya hanya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Bersatu sahaja yang memegang jawatan exco atau Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (AMMK).
Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan berpendapat, kuota empat dan seorang Menteri Besar dari Bersatu dilihat mencukupi namun ia memberi beban besar kepada mereka.
“Sekiranya hanya lima exco termasuk Menteri Besar dilantik, ia akan memberi bebanan kepada mereka kerana terpaksa menanggung terlalu banyak portfolio dalam mentadbir kerajaan negeri ini.
“Ini kerana mereka bukan hanya bertugas di Perlis namun perlu berulang-alik ke Putrajaya mengikut portfolio mereka dan itu hanya satu contoh daripada pelbagai contoh situasi,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengenai ADUN Pas negeri tidak akan menganggotai jawatan manakala exco sedia ada akan melepaskan jawatan sebagai solidariti kepada mantan Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.
Tambah Rus’sele, dalam keadaan exco menanggung beban tugasan yang tinggi, dibimbangi ia tidak akan melancarkan pentadbiran negeri. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan