"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sukar hidup semula MN selagi tiada ancaman kritikal Melayu-Islam

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Muafakat Nasional (MN) mungkin sukar dihidupkan semula kini kerana Umno dilihat berat menerima Bersatu kecuali wujud keperluan mendesak seperti ancaman kepada Melayu serta Islam, kata penganalisis.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata belum wujud ancaman terbabit sepanjang pentadbiran Anwar Ibrahim yang akan mengubah fikiran Umno atau mempertimbangkan kedudukan dalam kerajaan perpaduan bagi bersama Bersatu serta PAS menerusi MN.

“Sekarang ini Umno sukar bekerjasama dengan Bersatu kecuali ada sesuatu yang mengancam kedudukan Islam dan Melayu.

“Selagi tiada ancaman kritikal selagi itu MN sukar dilaksanakan, sekarang ini masing-masing selesa dengan kedudukan,” katanya kepada FMT sambil menyatakan faktor sejarah MN juga mungkin menyebabkan Umno menjauhkan diri.

“Sejarah lampau itu masih dirasai,” katanya merujuk keputusan PAS bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) menyebabkan Umno bertanding solo pada PRU15.

Khamis lalu, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mencadangkan MN dihidupkan semula susulan krisis politik di Perlis menyaksikan lapan Adun PN termasuk lima dari Bersatu menarik balik sokongan terhadap Shukri Ramli dari PAS sebagai menteri besar.

Dalam maklum balasya, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari bersetuju dengan cadangan Akmal yang akan dilaksanakan selepas Umno keluar daripada kerjasama Pakatan Harapan (PH).

Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden pula berkata penyatuan ummah yang menjadi asas MN tidak akan berjaya tanpa Bersatu.

MN ditubuhkan pada September 2019 ketika Umno dan PAS dalam blok pembangkang susulan kejayaan PH di PRU14 pada Mei 2018.

Pakatan itu terkubur selepas PAS membentuk PN bersama Bersatu dan pada masa yang sama mahu Bersatu diterima dalam MN, tetapi dibantah Umno.

Sementara itu, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata cadangan Akmal itu tidak begitu berkesan dari sudut politik kerana memerlukan persetujuan pimpinan dan perlu dibincangkan di Perhimpunan Agung Umno (PAU).

“Tak pasti sama ada Umno boleh menerima selepas MN 1.0 dibubarkan atas sebab berkeras PAS untuk bersama Bersatu.

“Apa jua nama sama ada penyatuan atau muafakat Melayu, paling penting akhirnya kuasa politik pada pilihan raya,” katanya.

Mazlan juga berkata usaha menggabungkan orang Melayu selain MN iaitu menerusi ‘payung besar’ dianjurkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad juga tidak akan berjaya kerana sukar diterima.

“Bukan sahaja Umno dan PH (parti komponen berasaskan Melayu), dalam PN pun walaupun Mahathir menjadi penasihat SG4 tetapi pemikirannya ada kalanya bertentangangan.

“Contohnya Timbalan Pengerusi PN Hamzah Zainudin pernah bawa konsep rekonsiliasi nasional yang dianggap bertentangan dengan payung Melayu idea Dr M,” katanya.

Tiada ulasan: