Anne Muhammad
PETALING JAYA: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Sanusi Nor, dapat persetujuan Ketua Dewan Ulama PAS, Ahmad Yahaya, sekiranya nama itu dicadangkan untuk jawatan pengerusi Perikatan Nasional, menggantikan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
Ahmad dalam satu catatan di Facebook hari ini mendakwa banyak pihak mencadangkan menteri besar Kedah itu sebagai pengerusi PN, dan beliau bersetuju dengan perkara itu.
Ketika dihubungi FMT untuk menjelaskan persetujuan itu, beliau berkata Sanusi digeruni lawan dan memahami politik negara.
“Sanusi dikenali dan mudah didekati, diterima rakyat pelbagai latar belakang, dan mampu raih sokongan anak muda. PRU16 pengundi muda jadi penentu,” katanya, yang juga pesuruhjaya PAS Kedah.
PAS setakat semalam belum memutuskan sebarang nama untuk dicalonkan sebagai pengerusi PN, menurut Ketua Pemuda Afnan Hamimi Taib Azamudden dan Ketua Wanita Nuridah Salleh.
Kelmarin, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan isu jawatan pengerusi akan dibawa ke majlis tertinggi gabungan yang dianggotai presiden parti-parti komponen.
Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi PN, berkuat kuasa hari ini, menyusuli kemelut politik di Perlis, yang menyaksikan jawatan menteri besar beralih daripada PAS kepada Bersatu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan