Rosli Ilham

Tertuduh dibawa ke Mahkamah Seksyen Kemaman – FOTO NSTP
KEMAMAN: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kemaman hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap cucu perempuannya yang berusia lima tahun, minggu lalu.
Sebaik kertas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim, Wan Suhaila Mohd, tertuduh yang berusia 62 tahun itu meminta supaya kesnya itu dibicarakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai pemotong rumput didakwa melakukan amang seksual fizikal di sebuah kawasan semak di Jalan Kubang Kurus-Bukit Mentuk di sini, pada 24 Disember kira-kira jam 12 tengah hari hingga 2 petang.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Wan Suhaila kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh juga dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan sehingga kes selesai dibicarakan.
Mahkamah menetapkan 2 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan kes terbabit dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Asyikin Hashim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan