Safwan Sawi
TAWAU: Bau kurang menyenangkan membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki di dalam sebuah kedai kosong di Batu 15, Jalan Apas, di sini, pagi tadi.
Lelaki berkenaan dipercayai seorang gelandangan dan penemuan mayat itu disedari orang awam sebelum laporan dibuat kepada pihak polis kira-kira jam 11 pagi bagi tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sepasukan polis dari Balai Polis Bandar Sri Indah bersama Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau digerakkan ke lokasi sebaik menerima maklumat.
“Siasatan awal mendapati mayat lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditemukan dalam keadaan meniarap dan berbantal, dipercayai sedang tidur ketika meninggal dunia.
“Pemeriksaan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang kesan kecederaan atau unsur jenayah pada tubuh badan si mati,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Tambahnya, anggaran awal mendapati lelaki berkenaan dipercayai telah berada di lokasi itu kira-kira seminggu sebelum ditemui.
“Kematian mangsa disahkan oleh pegawai perubatan dari Hospital Tawau sebelum mayat dibawa ke hospital sama untuk proses bedah siasat.
“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan penuh bedah siasat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan