"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Larang pembantu rumah Islam kerja dengan majikan bukan Melayu

Azamin Amin

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Hrkh) - Sudah tiba masanya masanya kerajaan membuat dasar melarang pembantu rumah berbangsa Melayu dan beragama Islam daripada bekerja di rumah majikan bukan Melayu/Islam.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu Zulkifli Noordin berpendapat pembantu rumah beragama Islam khususnya yang terdiri daripada warga Indonesia terdedah dengan perkara-perkara yang tidak diingini menurut agama.

"Saya tidak menafikan ada majikan bukan Melayu/ Islam yang baik, namun risiko warga Indonesia berbangsa melayu/ beragama Islam terdedah dengan perkara-perkara yang tidak diingini menurut Islam adalah terlalu tinggi," katanya melalui satu kenyataannya.

Namun katanya sudah banyak kes dimana warga Indonesia berbangsa Melayu dan beragama Islam terpaksa berhadapan dengan situasi yang jelas melanggar hukum agama.

Ini antaranya dipaksa memakai pakaian yang jelas tidak menutup aurat seperti seluar pendek, mengadu tidak dapat mengerjakan solat, terpaksa berhadapan dengan masalah anjing, babi dan arak, kata Zulkifli.

"Adalah lebih afdhal (baik) bagi majikan bukan Melayu/Islam ini mengambil pembantu rumah dari kalangan bukan Melayu/Islam seperti daripada Filipina, Cina atau Thailand," katanya.

Beliau sebelum itu, turut merujuk kes seorang warga Indonesia, Siti Hajar, 33 yang disiksa dan didera oleh majikannya selama tiga tahun.

Siti mengalami kecederaan serius akibat disimbah dengan air panas malah diberi makan nasi dengan berlauk daging babi sebagai bentuk siksaan. Gaji beliau sebanyak RM500 sebulan juga tidak pernah dibayar.

"Saya khuatir dengan perkembangan saperti ini. Sebelum ini kita mendengar laporan bagaimana seorang lagi wanita Indonesia bernama Bonat disiksa begitu kejam oleh majikannya.

"Apa yang dikhuatirkan adalah kerana kes ini melibatkan majikan yang terdiri dari bukan Melayu...Saya tidak percaya ianya suatu permasalahan melibatkan kaum atau agama, dan mungkin ianya suatu kebetulan bahawa pembantu yang terlibat berbangsa Melayu beragama Islam dengan majikan bukan Melayu/Islam.

"Walau apa pun, suatu kajian dan pelan tindakan menyeluruh dan serius perlu dibuat untuk mengatasi masalah ini," katanya yang juga seorang peguam.


Tiada ulasan: