"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS tidak tolak profesional

Khairul Azlam Mohammad

MARANG, 9 Jun (Hrkh)- Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Haji Yahya Ali berkata kemenangan Ustaz Nasaruddin Mat Isa mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PAS dalam pemilihan parti di Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-55 bukan bermakna PAS menolak golongan profesional.

Sebaliknya, kata Yahya kedua-dua calon yang tewas kepada Ustaz Nasaruddin iaitu Dato' Paduka Husam Musa dan Haji Mohamad Sabu turut memperolehi pencalonan yang tinggi dari perwakilan.

"Tidak timbul soal PAS menolak golongan profesional dengan kemenangan Ustaz Nasharuddin mempertahankan jawatannya (Timbalan Presiden PAS).

"Dua calon yang tidak menang seperti Dato' Husam dan Mohamad Sabu pun dapat pencalonan yang tinggi dari perwakilan PAS," ujarnya ketika dihubungi, semalam.

Beliau selaku Yang Dipertua PAS Marang berpendapat pemilihan jawatankuasa baru PAS bagi sesi 2009/2011 merupakan gandingan mantap serta kombinasi yang baik antara golongan ulama dan profesional.

Katanya, keputusan perwakilan membuktikan kematangan ahli PAS memilih kepimpinan parti yang bakal menerajui perubahan.

Yahya berharap agar tidak ada lagi mana-mana pihak sengaja mensensasikan isu kononnya terdapat dua kumpulan dalam PAS iaitu golongan ulama dan profesional.

Menurutnya, dalam PAS semua yang bertanding adalah baik dan bagus serta tidak mempunyai kepentingan peribadi.

"Bagi kita (PAS), semua yang bertanding itu baik dan bagus-bagus belaka. Hasrat perwakilan pula untuk memilih yang terbaik,"ujarnya.

Katanya, pertandingan dalam PAS tidak seperti yang berlaku dalam pemilihan parti Umno yang menggunakan politik wang atau rasuah.


Tiada ulasan: