"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Buang 'Islam' pada SIS - Khir Toyo

Menyedari sumbangan besar Sisters in Islam (SIS), bekas menteri besar Selangor tidak bersetuju NGO wanita diharamkan, sebaliknya mencadangkan "Islam" dibuang pada nama badan tersebut.

"Masalah SIS ialah adanya nama Islam dalam pertubuhan tersebut yang menimbulkan pelbagai tafsiran.

"Ada di kalangan pemimpin Islam khuatir nama tersebut dianggap sebagai satu punca yang berautoriti (berkelayakan dari segi ilmu dan kedudukan) untuk bercakap mengenai agama Islam," kata Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

"Namun mengharamkannya juga tidak wajar kerana (tindakan) ini hanya menunjukkan umat Islam di negara ini sebagai jumud dan tidak bersedia berwacana mengenai ilmu agama.

"Jalan terbaik ialah dengan menukar nama Sisters in Islam kepada nama lain yang tidak menggunakan nama Islam secara langsung."

Ketua pembangkang di DUN Selangor itu mengulas usul di muktamar PAS hujung minggu lalu yang menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan menyiasat SIS dan mengharamkannya jika didapati menyeleweng daripada ajaran Islam.

Pandangan ADUN Umno ini selari dengan saranan Pemuda PAS hari ini yang menggesa SIS menukar namanya kepada "Sisters in Malaysia" jika ingin meneruskan kegiatannya.

Dr Mohamad Khir berkata kemarahan PAS terhadap SIS "ada rasionalnya".

"Kadang kala SIS bertindak di luar dogma dan pemikiran umat Islam di negara ini dan pandangan jumhur ulama. Inilah yang menimbulkan persoalan, ketidakpuasan hati dan kemarahan sesetengah umat Islam di negara ini," katanya di blog peribadi hari ini.

"Lebih serius, kadang kala SIS dilihat berselindung di sebalik nama-nama besar pemimpin tertentu untuk mengukuhkan fahaman dan aliran pemikiran Islam mereka."

Dengan mempertahankan PAS yang dianggapnya "tidak menentang perbahasan dan perbincangan agama", Dr Mohamad Khir berkata pembuangan label Islam pada SIS akan dapat mengurangkan "kesan kegelisahan dan keresahan" umat Islam terhadap pandangan agama NGO itu.

"Tanpa menggunakan perkataan atau nama Islam, pertubuhan ini tidak akan terlalu diperhati dan 'dihakimi' sehingga setiap kenyataannya yang kontroversi akan menjadi polemik keterlaluan di kalangan orang Islam," tulisnya lagi.

Beliau seterusnya mencadangkan sebarang pendaftaran pertubuhan baru yang menggunakan nama Islam haruslah diluluskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan mendapat perkenan Majlis Raja-raja Melayu.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: