"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jawatankuasa Disiplin disaran agar diaktif dan diperkasakan

Nyza Ayob
Sun | Jun 07, 09 | 3:59:00 pm MYT

SHAH ALAM, 7 Jun (Hrkh) - Mantan Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa bersetuju dengan cadangan Pemuda PAS bahawa Jawatankuasa Disiplin perlu diaktifkan dan ditegakkan supaya mana-mana pihak yang melanggar disiplin parti dapat dikenakan tindakan.

Dalam ucapan penggulungan Muktamar PAS ke-55, beliau berharap Jawatankuasa Disiplin dapat meneliti mengenai perkara ini dan berharap ia dapat diselesaikan dengan teratur dan tertib.

Sementara itu, Husam turut merakamkan ucapan tahniah terhadap kepimpinan PAS yang baru dan beliau secara terbuka menerima baik keputusan yang tidak berpihak kepadanya.

"Dalam pertandingan, yang menang mendapat pahala dan begtiu juga bagi yang kalah juga mendapat pahala. Apa yang penting ialah kita menghormati rukun-rukun dan adab muktamar. Sebagai ahli biasa saya akan terus memberi pandangan walaupunn agak berbeza dengan keputusan pimpinan.

"Kita telah menerima PAS dalam fikrah dan uslub sama ada dalam menang dan kalah. Oleh itu tidak manis bagi yang menuduh dengan pelbagai tanggapan," katanya.

Beliau turut menyatakan dengan terpilihnya empat orang pemimpin dari Kelantan dalam kepimpinan PAS Pusat membuktikan keterbukaan politik PAS Kelantan.

"Kita berharap negeri lain dapat menerima keterbukaan ini. Keterbukaan ini menggambarkan politik Islam satu model yang beleh kita hayati," katanya.

Dalam ucapannya juga Husam menarik perhatian hadirin apabila menyentuh mengenai ucapan Timbalan Mursyidul Am, Dato' Dr Harun Din dalam satu seminar anjuran Dewan Ulama yang diketengahkan oleh media arus perdana.

"Saya yakin Timbalan Mursyidul Am tidak berniat untuk mengaibkan sesiapa. Tapi ramai yang telah mempergunakan kenyataannya terutama media perdana. Saya pohon agar beliau dapat menerangan apakah maksud ungkapan beliau.

"Saya berharap beliau dapat menerangkan secara terbuka dalam muktamar ini. Harap pimpinan mengambil perhatian mengenai perkara ini," katanya.

Tiada ulasan: