"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bahasa Melayu di Malaysia, satu gambaran kabur - Pak Samad

Nyza Ayob

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Hrkh) - Sungguhpun Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak berucap sepenuhnya menggunakan Bahasa Melayu pada majlis penganugerahan ijazah doktor kehormat oleh Universiti Kajian Luar Beijing (BFSU) kepadanya semasa kunjungannya ke China baru-baru ini , ia belum dapat diterjemahkan bahawa terdapat bayangan beliau bersedia mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu.

Demikian antara pandangan yang diutarakan Sasterawan Negara, Dato' A. Samad Said sebagai 'signal' yang boleh disampaikan kepada kerajaan Malaysia apabila Najib berucap dalam Bahasa Melayu di sebuah negara yang mengutamakan bahasa ibunda sebagai bahasa rasmi dalam segala urusan.

Jelas pejuang bahasa yang dianugerahkan Tokoh Bahasa pada Muktamar PAS ke-55 ini sewaktu dihubungi Harakahdaily, memandangkan Najib menerima ijazah doktor kehormat yang dikurniakan kepadanya, sudah tentu beliau menggunakan Bahasa Melayu dalam ucapannya.

"Penerimaan dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia belum lagi menentukan itu akan dilakukannya di Malaysia. Selain itu saya juga melihat gambaran yang agak kabur.

"Di Malaysia ini, Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri memberi kenyataan kadang-kadang kita dapati seolah-olah akan mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu. Tetapi kadang-kadang kita nampak seolah-olah ada keraguan akan menghapuskan PPSMI ini ,"tegasnya.


Tiada ulasan: