"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemuda PAS rela menjadi 'buruh kasar' parti - Nasrudin Tantawi

Azamin Amin

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Hrkh) - Demi mencapai matlamat PAS yang memperjuangkan agama Allah dan mendukung gagasan 'Islam Memimpin Perubahan', Pemuda PAS sedia menjadi 'buruh kasar' dan pejuang Islam yang akan melakukan perubahan tersebut .

Demikian antara kata-kata penuh semangat Ketua Pemuda PAS yang baru, Ustaz Nasruddin Tantawi dalam tulisan di dalam blog peribadinya hari ini.

"Umum mengetahui bahawa Islam adalah dasar perjuangan PAS. Ianya adalah suatu yang bukan sahaja termaktub di dalam perlembagaan parti bahkan ia adalah merupakan asas kenapa PAS ditubuhkan.

"Berdiri tegak di atas dasar inilah PAS berjuang , berdakwah dan berpolitik . Dasar ini jua menjadi platform kepada PAS untuk mendidik dan membina aqidah ummah serta fikrah dan syakhsiyah mereka," katanya.

Bahkan katanya dasar inilah yang membekalkan kekuatan dan menunjuk jalan kepada PAS untuk merubah landskap sosial dan politik tanahair agar tunduk dan patuh kepada wahyu Allah SWT. .

"Saya tegaskan di sini bahawa gagasan Islam Memimpin Perubahan memerlukan tenaga pekerja (buruh kasar) bagi memastikan perubahan dapat dilakukan dan Islam memimpin perubahan tersebut .

"Justeru sifat Islam ialah memimpin bukan dipimpin , mengarah bukan diarah dan diikut bukan mengikut . Tentu sahaja ungkapan ialah Islam di atas dan yang lainnya di bawah," kata Nasrudin

Tentu sahaja bagi menjayakan gagasan besar dan penting ini Pemuda PAS sedia menjadi buruh kasar sebagai (Rijal at Taghyir) dan pejuang Islam yang akan melakukan perubahan tersebut, katanya.

Dalam pada itu katanya para Pemuda PAS berikrar tidak akan menjatuhkan air muka Rasulullah s.a.w. dan tidak akan mencemarkan wajah Mursyidul Am dan Presiden serta seluruh saf pimpinan .

"Kami sekali-kali tidak akan menconteng arang kepada jamaah yang didokong ini.

"Pemuda PAS memainkan peranan sebagai semak dan imbang agar landasan perjuangan PAS dan kerajaan - kerajaan Pakatan Rakyat terus berjalan sebagaimana tuntutan Islam dan harapan rakyat," katanya.


Tiada ulasan: