"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

KONTROVERSI: Mursyidul Am PAS Tok Guru Nik Aziz tolak Kerajaan Perpaduan, sokong perbahasan YB Khalid Samad!

MUQADIMMAH: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat memanggil Harakah ke Rumah Sri Kelantan sehari setelah Muktamar Tahunan PAS ke-55 selesai dilangsungkan. Pada sebelah pagi, 7 Jun lalu, wartawan Harakah, INTAN ABDULLAH menemui Menteri Besar Kelantan itu dan mengadakan wawancara. Tok Guru betul-betul sedih dan kecewa kerana tiada pemimpin dari Kelantan yang menang pada pemilihan Muktamar kali ini. Beliau paling sedih, apabila media terus memainkan isu kerajaan perpaduan yang ditolak oleh perwakilan. Ikuti pendangan tokoh ulama PAS yang disegani ini.

HARAKAH: Muktamar PAS ke-55 baru sahaja selesai. Secara umumnya, bagaiamana Tok Guru melihat perjalanan kali ini yang telah diadakan di Stadium Melawati Shah Alam pada 5 hingga 7 Jun lalu?

TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ: Muktamar PAS yang ke-55 telah selesai. Kemudian telah dipilih pemimpin-pemimpin yang akan menerajui PAS, yang disebut PAS memimpin perubahan. Cuma saya bukan sahaja terkilan dan sedih di atas tidak dipilihnya pemimpin Kelantan pada pemilihan PAS baru-baru ini.
Bukan sahaja terkilan tetapi sedih. Saya tidak tahu apa puncanya. Kita akan kaji, dan boleh jadi kita akan serah perkara ini kepada muktamar pusat akan datang. Cuma saya gembira sungguh-sungguh atas keputusan yang dibuat oleh Dewan Pemuda PAS Pusat yang menolak sebulat suara mengenai kerajaan perpaduan.
Benda ini saya sendiri telah buat keputusan sejak lama dahulu. Saya telah tegur pemimpin PAS Pusat, pemimpin yang s
elalu mengutarakan muqabalah, muzakarah ini. Saya bagi tahu bahawa keputusan ini bercanggah dengan keputusan muktamar di Perak tahun lepas. Oleh itu, kalau kita hendak buat benda yang baru, perlu dibawa ke muktamar.
Yang kedua, bagi saya Jabatan Penerangan PAS Pusat perlu diubahsuai mengikut keputusan-keputusan muktamar. Ini kerana PAS hanya ada satu lidah rasmi saja untuk PAS iaitu Harakah.
Dalam organ Harakah ini pula, perlu dilihat semuala. Disemak dan dirombak mengikut kehendak keputusan muktamar iaitu menolak kerajaan muktamar, seperti keputusan Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat. Siapa orangnya yang diharapkan, sudah tentu pimpinan dapat pastikan.
Yang ketiga, saya ucap tahniah kepada YB Khalid Samad. Walaupun beliau tidak pernah dilihat berkopiah, berserban, berjubah tetapi ucapan dia dalam dewan muktamar kelmarin beliau telah menggunakan hujah-hujah ulama seratus peratus.

Mengapa Tok Guru mengulas tentang ucapan perbahasan YB Khalid Samad? Apakah terdapat sesuatu yang menarik pada hujahnya?

Lagak dia ini (Khalid) boleh menyelesaikan persoalan yang dibesar-besarkan oleh pihak media arus perdana yang ingin mengasingkan antara profesional dan ulama. Khalid Samad telah menonjolkan, menjelmakan tafsiran yang sah bahawa ulama PAS adalah profesional dan profesional PAS adalah ulama. Tidak ada pengasingan dalam PAS khasnya dalam Islam antara dua golongan ini.
Hujahnya adalah hujah alim ulama. Ada dua hujah dia. Pertamanya mengenai Abu Jahal patuh kepada tradisi Arab (perlembagaan tidak bertulis) bahawa tiap-tiap orang apabila dilindungi oleh seorang pembesar Makkah, maka kerajaan terpaksa akur dengan perlindungan itu.
Apabila Rasulullah balik daripada Taif, baginda tidak dibenarkan masuk ke Makkah oleh kerajaan Abu Jahal. Tetapi nabi kita menggunakan diplomasi iaitu dengan meminta perlindungan daripada seorang yang bernama Mut'am bin Adiyy yakni seorang kafir musyrik. Oleh kerana budaya Arab apabila seseorang yang dapat perlindungan daripada mana-mana orang Arab maka Arab yang lain terpaksa menerimanya.
Jadi, Abu Jahal terima Rasulullah duduk di Makkah berdasarkan tradisinya mendapatkan perlindungan daripada seorang yang bernama Mut'am. Abu Jahal tahu dan hormat kepada tradisi itu. Malangnya, Umno tidak tahu hormat langsung peraturan dan undang-undang.
Umno pencabul di Perak kerana bukan tradisi orang Melayu berbalah sesama orang Melayu. Bukan perlembagaan namanya itu? Jadi, Umno ini lebih teruk daripada Abu Jahal lagi. Umno tiada perlembagaan dan moral. Akhlak pun tak ada. Apa yang dia nak buat, dia buat ikut sedap hati dia. Betul-betul dibuat atas sebab nafsu amarah.

Saya ulang berkali-kali firman Allah dalam al-Quran, ayat 27-28 Surah Fathir. Allah letakkan perkataan ulamak di penghujung ayat mengenai geografi, geosains, mengenai alam sekitar. Ayat tersebut bermaksud, "Yang takut pada Allah itu adalah ulama."
Perkataan ulama diletak dihujung daripada ayat-ayat mengenai langit, bumi, air, cuaca, alam sekitar, yang mengandungi manusia dan haiwan. Ini menunjukkan ulama ini tidak hanya seperti fahaman tradisi yang mementingkan fiqh, syariat dan tasawuf semata-mata.
Perkara ini kebetulan berlaku kerana usaha-usaha penjajah di seluruh dunia yang menyekat aliran ilmu-ilmu begini untuk diketahui oleh anak-anak jajahan. Ilmu sains dan teknologi ini sengaja dicipta oleh penjajah. Ini kerana kebanyakan alim ulama kita zaman dahulu hanya belajar di Masjidil Haram. Di sana pada ketika itu hanya mementingkan ilmu fiqh, daripada pengarang-pengarang lama. Dalam ulama Makkah tidak diajar ilmu sains, teknologi, geografi. Semuannya ini tidak diajar. Itulah puncanya.

Sepanjang Muktamar PAS berlansung, media banyak memperkatakan tentang kerajaan perpaduan. Tumpuan mereka kepada isu ini cukup mengelirukan. Boleh Tok Guru perjelaskan sedikit?

Umno sekarang ini telah bersiap sedia dengan pisau, garpu untuk meratah PAS daripada kenyataan-kenyataan pemimpin dia. Sekarang ini nampak sangat Umno terliur untuk memamah PAS.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin mencabar Tok Guru letak jawatan? Apa respons Tok Guru?

Yang sepatutnya, dia (Khairy) yang letak jawatan kerana dia tidak dipilih dalam kabinet Najib Tun Razak. Dia tak dilantik jadi menteri atau timbalan menteripun. Sepatutnya dialah letak jawatan, tetapi tertukar orang.
Patutnya dia letak jawatan kerana beliau dipinggir oleh partinya sendiri. Bagi saya, keputusan muktamar menolak kerajaan perpaduan, betul-betul seperti mana kehendak Mursyidul Am.

Sepanjang perbahasan, nampaknya perwakilan lebih cenderung untuk tidak mahu PAS mengadadakan perbincangan dengan Umno. Bukan sahaja berkongsi kuasa, tetapi berbincang pun mereka tidak berminat. Apa sebenarnya yang berlaku Tok Guru?

Bagi saya, masalah muzakarah-muqabalah tidak perlu ditimbulkan secara agenda. Benda ini, Islam telah lama membuka peluang untuk berbincang. Kita hendak sebutkan sebagai agenda adalah satu yang tidak betul, seakan-akan Islam tiada agenda untuk bertemu dengan orang.
Sedangkan Islam terbuka selama-lamanya. Tidak perlu diagendakan dalam ucapan kita kerana barang sudah sedia ada. Dalam istilah Arab dipanggil tahsilul hasil yakni mengadakan benda yang sudah sedia ada.
Jadi, Islam sejak daripada awal lagi membuka peluang kepada manusia yang menentangnya untuk berbincang. Itu sejak awal lagi, tidak perlu diagendakan. Bila kita mengagendakan apa yang sudah sedia ada bererti kita mengadakan barang yang sudah sedia.

Maksud Tok Guru, mengadakan perbincangan dengan Umno ini sebagai suatu yang telah sedia ada sifatnya? Begitu?

Ya! Tetapi berbincang untuk berkerajaan, untuk bersama dengan Umno, yang ini memang saya tidak boleh terima langsung. Ini kerana saya sebagai orang Kelantan sebagaimana yang saya sebut dalam ucapan saya, orang lain tidak merasa pahit maung bersama Umno.
Sejak daripada dulu, Umno tangkap tok guru pondok masuk ISA pada tahun saya mula masuk PAS (1967) ketika mana Umno mengamuk memberkas tok guru-tok guru pondok dimasukkan dalam ISA. Ini sudah kacau sebab itulah ulama' Umno pada masa itu buat parti PAS. Tetapi lima tahun selepas itu ulama melihat kepada penyelewengan Umno sekular daripada Islam maka mereka (ulama) berpecah daripada Umno lalu menubuhkan Parti Islam.

Isu kerajaan perpaduan ini seperti isu 'One Malaysia' apabila perwakilan dan pemerhati masih lagi kurang jelas dengan definisinya. Ada macam-macam persepsi dan definisi. Ini cukup mengelirukan. Boleh Tok Guru jelaskan?

Dia manfaat untuk rakyatkah? Kalau begitu ia tidak perlu ditonjolkan dalam perpaduan kerana sememangnya begitu. Dalam kerajaan federation atau Persekutuan Malaysia, apa makna Persekutuan kalau antara satu sama lain tidak boleh berhubung?
Hubungan dan masalah berbincang ini memang Islam pun benarkan, dan Kerajaan Persekutuan pun dibenarkan. Tetapi buat hubungan dengan Umno, saya tidak boleh terima kerana buat hubungan dengan Umno lain, bekerjsama dengan kerajaan federal lain.
Sekarang, dalam keadaan Presiden Umno sebut One Malaysia, masih lagi Kelantan diarahkan oleh Kerajaan Pusat supaya pegawai pertanian pusat jangan kerjasama dengan kerajaan negeri Kelantan.
Hal ini memang ada, dan direkod dalam minit mesyuarat kami. Pihak kementerian mengarahkan pegawainya di Kelantan di bawah JPP supaya jangan bekerjasama dengan Kerajaan Kelantan dalam bahagian pertanian. Itu berlaku semasa One Malaysia diisytiharkan. Apa erti One Malaysia? Serupa sahaja. Ia tidak lebih daripada sekadar slogan semata-mata.

Dalam Umno hari ini terdapat pergolakan seperti mana dalam Parti Progresif Penduduk (PPP) dan Gerakan. Keadaan komponen Barisan Nasional (BN) nampaknya lebih kronik di bawah kepimpinan Najib berbanding Abdullah.

Dalam ukuran kepada populariti Perdana Menteri yang baru, kalau kita ambil daripada kaca mata "ucap tahniah" yang diterima oleh Malaysia, setakat ini yang saya diberi faham hanya Singapura, Brunei, dan baru-baru ini Amerika yang ucapkan tahniah. Hanya tiga pemimpin negara dari seluruh dunia yang menyampaikan ucapan tersebut.
Kita telah masuk ke bulan ketiga sejak pelantikan perdana menteri yang baru. Kalau itulah ukuran sambutan orang terhadap perdana menteri yang baru maka sudah tentu ada sesuatu yang tidak kena.
Apabila kita selidik, apa agaknya yang tidak kena, jelaslah pergolakan dalaman seperti isu PPP dengan elemen dua presiden antara Murugiah dengan Kayveas belum lagi selesai. Begitu juga dengan perpecahan di Terengganu antara blok Ahmad Said dengan Idris Jusoh, laporan ancaman bunuh ketika hendak hadir mesyuarat sidang dun masih belum selesai.
Di Pulau Pinang sendiri pun, usul tidak terima kepada kepimpinan majlis perbandaran menolak salah satu. Itupun ia masih dalam keadaan yang hangat. Jika kita tinjau di Perlis, keadaan yang hampir serupa. Di wilayah ini, keadaannya sama, orang yang boleh diharap dalam menyokong Najib hanya dua, tiga orang sahaja. Mungkin dia bekas setiusaha politik dia, Zahid Hamidi dan mungkin seorang lagi yang baru dilantik sebagai Senator.
Selain mereka, saya lihat masih berkecuali dan kemungkinan tidak memberi wala' kepada Najib. Sebab itu desakan yang ditimbulkan oleh Lim Kit Siang berasaskan kepada 45 peratus sahaja undi popular yang diperolehi. Najib sepatutnya diuji dalam sidang dewan yakni 'vote for non-confidence'.
Kenapa ini tidak boleh dibuat? Ini perkara yang boleh dinilai tahap kekukuhan Umno buat masa sekarang ini.

Apakah konsep One Malaysia hanya 'recycle' kepada pelbagai istilah yang digunakan oleh PM terdahulu bagi menonjolkan kepimpinannya? Maksudnya sebagai produk untuk mengajak rakyat menyokongnya?

Kita terlalu kaya dengan slogan. One Malaysia merujuk kepada perpaduan, penyatuan. Sejak merdeka sehingga ke hari ini, semua ini sememangnya slogan itulah yang kita tuju.
Dengan lagu, harapannya, daripada perdana menteri terdahulu sehingga ke Najib pada hari ini. Di sini bermaksud tiada yang baru dengan slogan One Malaysia. Begitu juga dengan 'rakyat diutamakan'. Ini pun slogan yang telah selesai. Ini kerana semua pemimpin mengulangi perkara yang sama. Kalau pemimpin negara blog kapitalis dan komunis pun, itulah yang mereka cakap pun.
Tetapi apa yang sering berlaku di negara serata dunia ini termasuklah Malaysia pun ialah rakyat yang ditindas, dinafikan haknya - inilah isunya - tetapi Umno sampai sekarang masih tidak dapat menyelesaikannya.
Begitu juga dengan soal kualiti, bercakap tentang hasil daripada kerja dalam konsep One Malaysia. Ini pun satu hal kalau penjawat awam boleh semak perkara ini kita ada prinsip 'Q' pada suatu ketika.
Sebelum ini kita ada SKT atau sasaran kerja tahunan, Fail Meja, Piagam Pelanggan - ini semua adalah perkara-perkara yang menuju kepada 'input cost' dan 'output' atau prinsip pengeluaran kualiti dengan pengurusan yang cekap dan berkesan seperti kaunter servis yang baik. Ini semua adalah perkara yang telah selesai.
Kalau tidak begitu, tidak timbul MAMPU yakni suatu jabatan khas untuk memantau pengurusan yang cekap lalu kita kitar semula istilah ini, dilambung di tengah-tengah Malaysia kononnya ini suatu idea yang bijak daripada kepimpinan Umno yang baru. saya melihat ini suatu 'recycle' sahaja dan tiada suatu yang baru.

Tiada ulasan: