"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar Mohon Perintah Mahkamah Untuk Dapatkan Dokumen Dari Pendakwa Raya

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memohon Mahkamah Tinggi supaya memerintahkan pihak pendakwa raya membekalkan kepada beliau semua dokumen berkaitan kes liwatnya secepat mungkin.

Anwar,dalam notis usul yang difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah, mahu pendakwa raya membekalkan dokumen tersebut sebelum perbicaraan kes liwatnya bermula dari 1 Julai hingga 24 Julai depan.

Antara yang diminta Anwar ialah pita rakaman CCTV yang asal yang diambil di beberapa lokasi di tempat kejadian di Kondominium Desa Damansara, Jalan Setia Kasih, Bukit Damansara dari tarikh 25 Jun hingga 27 Jun 2008, contoh DNA, kenyataan-kenyataan saksi termasuk pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan dan kenyataan polis.

Anwar, yang turut menyertakan afidavit sokongannya, memfailkan permohonan itu melalui Tetuan S.N.Nair and Partners, pada pukul 2.15 petang ini. Beliau menamakan pendakwa raya sebagai responden.

Dalam permohonan itu, Anwar mahu semua dokumen itu dikemukakan sebelum perbicaraan kerana dokumen itu amat diperlukan, relevan dan mustahak bagi mantan Timbalan Perdana Menteri itu menyediakan pembelaannya dengan rapi dan bernas.

Anwar juga memohon mahkamah supaya sebarang prosiding kes liwatnya ditangguhkan atau digantung sementara menunggu dan sehingga permohonan itu selesai.

Beliau memohon mahkamah supaya melepaskan dan membebaskan beliau serta merta daripada tuduhan itu atau prosiding kes berkenaan digantung selama-lamanya jika pendakwa raya tidak mematuhi perintah mahkamah supaya membekalkan dokumen-dokumen tersebut.

Anwar mendakwa beliau melalui peguamcaranya, telah membuat beberapa permohonan bertulis kepada pendakwa raya untuk dokumen-dokumen berkenaan tetapi tiada jawapan atau balasan positif, mencukupi dan memuaskan daripada pendakwa raya.

Oleh kerana kes itu melibatkan keterangan DNA dan rakaman CCTV, Anwar berkata beliau perlu mendapatkan pakarnya sendiri untuk memeriksa sampel-sampel DNA serta rakaman CCTV dan melakukan ujian yang sewajarnya.

Beliau juga berkata pembelaannya membabitkan pemberian notis alibi yang sewajarnya dan jika dokumen-dokumen itu tidak dibekalkan, ia akan melengahkan perbicaraan kes tersebut.

Anwar, 61, menghadapi tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, di Unit 1151, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun tahun lepas.

Saiful membuat tuduhan itu beberapa hari selepas beliau menemui Najib Razak yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri. Anwar ketika itu mengecam Najib berhubung beberapa isu termasuk pembunuhan mangsa Mongolia Altantuya Sharibuu serta sogokan dalam kontrak pembelian peralatan tentera.

Dakwaan Saiful bukan sahaja dilihat mempunyai motif politik malah lebih rapuh apabila doktor yang memeriksa beliau mendapati tidak ada kesan-kesan untuk menyokong dakwaan Saiful mangsa liwat.

Najib dan UMNO telah menggunakan dakwaan Saiful sebagai modal politik untuk mengaibkan Anwar dan keluarganya pada pilihanraya kecil Permatang Pauh. Namun cubaan itu gagal apabila Anwar menang dengan majoriti besar dan diangkat menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen.

-TVAntara.com.my-

Tiada ulasan: