"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu penarikan undangan RTM: "Saya akan hantar surat kepada Rais Yatim"

Ali Bukhari Amir

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Hrkh) - Ekoran tindakan menarik semula jemputan untuk acara bual bicara Di Luar Lingkungan semalam, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad mengambil keputusan akan mengirim surat kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim bagi memohon penjelasan terhadap kejadian itu.

"Saya akan kirim surat kepada beliau untuk sahkan kebenaran perkara ini. Jika ya, saya ingin tanya menteri tentang apakah sebenarnya kewajaran di sebalik larangan ke atas saya daripada muncul secara langsung di televisyen?

"Apakah ia ada kena-mengena dengan perwatakan atau profesion saya yang dirasakan tidak sesuai dipapar di televisyen? Apakah pandangan dan pendapat saya merupakan satu gugatan kepada keselamatan negara dan budaya?

"Atau mungkin kerajaan UMNO-BN takut memberi ruang kepada pihak yang mewakili Pakatan Rakyat untuk mengutarakan pandangan mereka kepada khalayak awam, dan membahaskan isu kepentingan rakyat?" kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam suatu kenyataan medianya yang menuntut penjelasan menteri tentang penarikan undangan itu pada saat-saat akhir melalui kiriman nota Facebook sekitar 4.00 petang tadi.

Menurut Nik Nazmi, beliau diundang RTM pada 9 Julai, untuk hadir dalam rancangan bual bicara Di Luar Lingkungan bersama Sayed Munawar untuk siaran pada 13hb Julai 2009, jam 9.00 malam.

Selain beliau, turut diundang sebagai panel adalah Pegawai Khas Perdana Menteri, Prof Madya Khairil Annas Jusoh. Tajuk bual bicara itu ialah "Masa Depan Daripada Kacamata Generasi Pewaris".

Sebagai gantinya, wakil Malaysia Think Thank Amin Ahmad telah hadir bagi mengisi kekosongan tersebut.

"Pada 4.00 petang kelmarin saya difahamkan bahawa seorang menteri kabinet telah mengarahkan RTM menarik kembali undangan yang telah disampaikan kepada saya.

"Tindakan ini amat mengecewakan dan sekali gus membuktikan bahawa kerajaan pimpinan UMNO-BN sememangnya tidak menghormati dan mengamalkan prinsip kebebasan bersuara dan berpersatuan," tambah beliau.

Sebetulnya, tambah Adun Seri Setia ini, salah satu hal yang ingin dibangkitkan dalam rancangan itu ialah kesulitan anak muda Malaysia yang sering berdepan dengan kesukaran menyalurkan pendapat dan kritikan kerana kekurangan ruang yang disediakan kerajaan.

"Ironisnya, kejadian semalam nampaknya telah mengesahkan pandangan ini," kata beliau.

Tiada ulasan: