"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Debat : Wakil Umno tersasar, lari tajuk

Mohd Sabri Said

GEORGETOWN, 14 Julai (Hrkh)- Matlamat Umno Bahagian Tanjung untuk melihat Umno dan PAS duduk semeja berbincang masalah melayu Pulau Pinang tersasar jauh apabila wakil parti itu, Pengerusi Biro Agama Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Mohd Afendi Yusuf kelihatan asyik menyerang PAS dan bukan memberi formula bagaimana untuk mengembalikan kedudukan melayu yang sudah tersepit ekoran pembangunan hebat di Pulau Mutiara.

Beliau lebih senang menyalahkan apa yang cuba dilakukan oleh Pakatan Rakyat khususnya di Pulau Pinang.

"Jika PAS berjaya membawa usul menegakkan Negara Islam dengan melaksanakan Hudud saya merupakan orang pertama akan menyertai PAS untuk bersama-sama berjuang memperkasakan kedudukan orang melayu di Malaysia, " tegasnya yang mengantikan Ketua Pergerakan Umno Malaysia, Khairy Jamaludin.

Bagi Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusuf Rawa apa yang diluahkan oleh wakil umno tidak ubah seperti kempen pilihan raya Manek Urai sahaja tanpa mengaitkan persoalan yang dibincangkan dalam forum bertajuk ' Wacana Minda Perpaduan Ummah: Retorik atau survival'.

Baginya, forum sebegini bukan masanya untuk menyerang sebaliknya memberi jalan atau ideal bernas untuk bersama-sama membantu tangani masalah melayu yang terhakis akibat pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang mementingkan periuk nasi mereka sahaja.

"Selama memerintah lebih 50 tahun BN nyata gagal tangani masalah melayu sedangkan Umno menang banyak kerusi, " tegasnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang.

Masalah melayu Pulau Pinang sebenarnya bukan masalah Umno sahaja tetapi semua pihak, justeru katanya satu pendekatan harus dicari di waktu PAS mendapat kepercayaan yang tinggi berbanding Umno yang dianggap 'sekupang dua' sahaja oleh rakyat selepas era reformasi.

Katanya, Umno jangan bertanya PAS kenapa sehingga tidak boleh duduk semeja berunding tangani masalah rakyat sebaliknya Umno perlu bertanya rakyat kenapa dihukum sebegini sehingga kalah teruk dan hampir hilang kuasa di parlimen.

Kemelut di Kampung Tanjung To' Kong, Jelutong, Tanjung Bungah, Bayan Baru dan sebagainya sampai hari ini tidak selesai akibat peninggalan jajahan BN yang mempunyai agenda tersembunyi walhal kawasan terbabit merupakan kawasan melayu yang begitu ramai dulunya, kata Mujahid.

Menurut beliau lagi, untuk tangani masalah melayu secara realiti usah berpidato diawang-awangan tanpa fakta yang kukuh.

Program yang bermula jam 3.00 petang sehingga 6.00 petang itu diadakan di Dewan 1 dan 2, Komplek Masyarakat Penyayang, Jalan Utama Pulau Pinang hari Sabtu lalu.

Turut kelihatan ialah Ketua Bahagian Umno Tanjung, Ahmad Ibni Hajar, Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Mohamed Yusuf Mohamed Nor dan Ismail Ibramhsa, Ketua Penerangan PAS Negeri, Zulkiply Ishak, Yang Dipertua PAS Tanjung, Yaacob Omar, Timbalan Ketua Umno Bahagian Tanjung, Raja Munir Shah Raja Mustaffa dan ramai lagi kepimpinan kedua dua parti.

Tiada ulasan: