"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

UBN Najib Altantuya: Polis dan SPRM bukan untuk rakyat seperti saya

Saya pernah menjadi Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia selama dua penggal, saya juga pernah menjadi Pengerusi GERAK Pahang dan Ahli Lembaga Pengarah GERAK Malaysia.

Sama ada ketika di dalam PKR mahupun GERAK, orang yang paling ghairah mahu “bersahabat” dengan saya adalah polis-polis dari Cawangan Khas.

Dalam setiap program yang saya anjurkan ketika itu, polis Cawangan Khas ini akan setia hadir bersama, walaupun tidak dijemput.

Dari seorang bertambah dua, dari dua menjadi tiga, sehinggalah paling ramai mencecah lima orang.

Anda bayangkan lima orang polis mengikut saya seorang. Mengenang keadaan ini dahulu, tentulah saya akan katakan kehidupan saya hari ini jauh lebih tenang.

Tragedi kematian Teoh Beng Hock, yang dibawa ke Pejabat SPRM Selangor untuk siasatan, atas kapasitinya sebagai seorang ahli politik begitu menakutkan saya.

Apa tidaknya, Teoh dikatakan disiasat sehingga 3.45 pagi, itu dakwaan SPRM, lebih lagi entahlah!

Saya pernah dipanggil untuk memberi keterangan (seorang diri) di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada jam 10.00 malam!

Anda bayangkan jam 10.00 malam, apakah mereka tidak kenal waktu siang? Saya mengambil keputusan untuk tidak pergi walaupun saya diugut dengan Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah (kemudiannya saya pergi juga pada hari yang lain, waktu siang, waktu pejabat).

Mengingatkan apa yang berlaku terhadap Teoh (juga Kugan dan Rumie Azzan Mahlie), saya bersyukur kerana saya tidak termakan dengan ugutan untuk hadir ke balai pada tengah malam hari tersebut.

Permintaan untuk saya hadir ke balai itu adalah kerana laporan polis saya yang meminta supaya laporan Dato’ Fauzi Abd Rahman (kini Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Pahang) berkenaan salahurus sumber hasil Negeri Pahang oleh Tun Khalil Yaakob (kini TYT Negeri Melaka).

Bila saya kemudiannya hadir ke balai polis, saya telah ditanya apakah saya punya apa-apa dokumen pembuktian?

Saya katakan kepada pegawai penyiasat yang bertugas, itu kena tanya Dato’ Fauzi (yang ketika itu masih ahli Umno), laporan saya hanya meminta laporan beliau disiasat.

Anda fikirkan, kematian Teoh berlaku dalam siri penyiasatan “paling pantas” SPRM kerana wujudnya dakwaan salahguna wang peruntukan oleh ADUN Pakatan Rakyat Selangor berjumlah RM500,000, saya boleh katakan SAHAJA!

Kerana laporan Dato’ Fauzi mengenai salahurus sumber hasil Negeri Pahang oleh Tun Khalil Yaakob (ketika menjadi Menteri Besar Pahang) melibatkan jumlah di antara RM300 juta hingga RM900 juta setahun dan ia berlaku untuk tempoh lima tahun.

Maksudnya salahurus ini telah mengakibatkan Negeri Pahang kehilangan hasil paling kurang RM1.5 bilion dan paling banyak RM4.5 bilion!

Laporan Dato’ Fauzi ini diberitakan telah dipindahkan ke BPR (kini SPRM), Dato’ Fauzi sendiri ada memberitahu saya yang mereka pernah menghubunginya.

Apa yang SPRM sudah buat untuk kes ini? Adakah yang tertuduh, pegawai khas tertuduh, setiausaha peribadi atau bukan peribadi tertuduh dan ahli keluarga tertuduh telah dipanggil untuk disiasat, dirakam percakapan atau diambil keterangan?

Adakah antara mereka yang terpaksa bermalam dan berembun di pejabat polis atau SPRM? Ingat, ini melibatkan bilion ringgit Malaysia, bukan ratus ribu, sumber hasil negeri, hak rakyat.

Mana SPRM yang “pantas” itu? Mana pasukan “penyerbu” SPRM? Usahkan pantas, lambat pun tidak, usahkan lambat, lembab pun tidak. Habis apa? Tiada apa-apa…

Apakah hak saya sebagai rakyat? Tiadakah hak saya untuk diambil peduli oleh badan-badan penguatkuasa kerajaan seperti polis dan SPRM ini?

Kata mahu rakyat bekerjasama membenteras jenayah, kata mahu rakyat bekerjasama menentang rasuah.

Bila saya memohon supaya sesuatu kecurigaan disiasat, saya pula yang dipanggil untuk disiasat.

Bila saya melempias kecurigaan dan keprihatinan saya tentang rasuah dan salahguna kuasa pemimpin di pentas-pentas ceramah politik, saya pula diekori dengan berderet-deret polis dari Cawangan Khas, salah apa saya perbuat bila saya mencari kepastian dan menyebarkan kesedaran?

Sehingga ketika saya membuat majlis pelancaran GERAK Negeri Pahang suatu ketika dahulu, polis Cawangan Khas yang hadir lebih ramai dari wartawan, lebih ramai dari tetamu jemputan.

Bahkan ketika saya masih menjadi Pengerusi GERAK Negeri Pahang, mengiringi Saudara Zainuddin yang berekspedisi solo “Merdeka Tanpa Rasuah” untuk berjumpa secara rasmi dengan Dato’ Seri Adnan Yaakob di bilik mesyuarat Yayasan Pahang, tiga orang polis Cawangan Khas telah ikut serta dalam mesyuarat tersebut.

Apa mereka ingat saya mahu seludup masuk C4 ke, saya mana ada akses untuk itu.

Oh ya, saya bukan Tun Mahathir Mohammed, beliau bila disapina ke mahkamah untuk hadir sebagai saksi boleh sahaja meletak syarat bagi mengetahui terlebih dahulu soalan yang akan ditanya peguam, kalau tidak beliau tidak akan hadir, dan beliau memang tidak hadir.

Kalaulah saya di tempatnya dan memberi jawapan yang serupa, percayalah tidak sampai sehari saya akan dihadiahkan waran tangkap, tidak sampai sehari juga polis bersama gari dan waran tersebut akan terpacul di hadapan pintu rumah saya.

Sebab itulah saya katakan polis dan SPRM bukan tempat untuk rakyat seperti saya, untuk rakyat seperti saya mengadu tentang kemungkaran politik sang penguasa.

Kalau Halimi Kamaruzaman dari Umno itupun boleh dibelasah teruk dalam “jagaan” SPRM, apalah nasib orang seperti saya gamaknya? Senasib Teoh? Mohon simpang malaikat empat puluh empat.

-mstar.com.my-

Tiada ulasan: