"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Di mana Cikgu Mala dapat kekuatan

abuhikam
Pilihan raya adalah buah demokrasi yang dipaksakan ke atas kita. Dalam perjuangan yang mulia ini, kita harus mengharunginya dengan penuh kepayahan dan kesakitan. Kadang-kadang kita menjadi sesak nafas, lemas, kecewa dan putus asa apabila terpaksa berhadapan dengan kejahatan manusia-manusia yang kejam, tidak beriman dan tidak beraqidah dalam perlawanan ini.

Sama ada bersetuju atau tidak, suka atau tidak kita terpaksa mengheret kaki dalam meneruskan perjuangan demi mencari redha Allah, demi mencari syurga Allah yang hanya ditawarkan kepada Ansarullah sahaja.

Tenang menyaksikan satu lagi perlawanan yang tidak pernah berlaku adil kepada mana-mana perjuangan berfaham keadilan atau kebenaran.

Mereka yang memegang kekuasaan, dengan segala yang ada, terus menekan dan menekan pihak lawan yang sah dengan cara yang tidak sah dan sangat tidak manusiawi.

Segala senjata berat dan ringan dihamburkan tanpa ampun. Fitnah membabi buta, rasuah yang jijik, ugutan tanpa batas, perlecehan immoral dan penghinaan agama. Bererti penghinaan kepada tuhan.

Maududi pernah mengungkapkan bahawa tujuan yang paling utama Islam menawarkan calonnya dalam perlawanan pilihanraya adalah untuk menyelamatkan aqidah ummat Islam dengan memberi peluang kepada ummah untuk memilih calon yang berjuang demi aqidah Islamnya.

Justeru seluruh ummah Islam di Tenang sewajarnya bersyukur kepada Tuhan kerana seorang cikgu yang solehah sanggup berkorban untuk memenuhi tanggungjawab yang sangat berat ini.

Di manakah Cikgu Mala ini memperoleh kekuatan yang luar biasa ini. Kekuatan untuk menyahut cabaran yang sangat getir ini. Walhal, alangkah indahnya hidup sebagai suri rumah yang biasa di samping suami dan anak-anak tercinta.

Cikgu Mala. Anda adalah di antara pilihan Tuhan untuk menyelamatkan aqidah ummat di Tenang, malah di Malaysia. Fahamilah perkara ini dengan saksama.

Anda mengingatkan kita kepada Zainab al Ghazali.

Mengingatkan kita kepada pemerintahan empat orang ratu yang memerintah Aceh selama enam puluh tahun (1641-1699) yakni Ratu Safiatuddin, Ratu Naqiatuddin, Ratu Zakiatuddin dan Ratu Kamalat Shah.

Sedangkan ulamak terbilang saat itu tidak membantahnya, seperti Nuruddin Ar Raniri, Abd.Rauf Fansuri, Jalaluddin Althursani.

Ratu Hijau di Patani, Raziatuddin di kerajaan Mamluk India dan Shajaratuddin di Mesir.

Cikgu Mala. Terima kasih kerana mengambil amanah berat ini. Ingatlah pesan Hamka dalam Tafsir Azhar "Allah tidak akan tanya menang atau kalah, tapi Allah akan tanya sama ada kita berjuang untuk Islam atau berjuang menentang Islam".

Wasalam.

Tiada ulasan: