"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Phang: Saya diserang kerana minta AG bersihkan nama

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, Jan 28: Mengatakan bahawa beliau kini diserang bertubi-tubi dari semua arah, Tan Sri Robert Phang Miow Sin (gambar) terpaksa meletakkan jawatan sebagai anggota panel Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Phang mendakwa bahawa beliau telah menjadi subjek “serangan berbisa” kerana meminta Peguam Negara, Haji Abdul Gani Patail untuk membersihkan namanya dalam beberapa kes berprofil tinggi.

Antaranya skandal kerugian Penerbangan Malaysia (MAS) dan pemergiannya ke Mekah untuk menunaikan haji tahun lalu ditaja oleh Shahidan Shafie, seorang proksi bekas presiden MAS, Tajuddin Ramli.

“Dengan sekadar menyeru Peguam Negara Gani Patail untuk bertanggungjawab ke atas semua kontroversi yang sudah berada dalam pengetahuan umum, saya tetiba menjadi subjek kepada serangan berbisa ini,” tulis Phang dalam satu kenyataannya semalam.

Sebelum ini, Phang telah menyeru Gani untuk menjawab tuduhan-tuduhan yang dilemparkan padanya dalam laman web Malaysia Today mengenai spekulasi hubungan beliau dengan Shahidan sebagai bukti mengapa Gani tidak bertindak terhadap Tajuddin, yang mentadbir MAS sehingga mengalami kerugian terbesar sebanyak RM8 billion meskipun disarankan berbuat demikian oleh bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM, Datuk Ramli Yusof.

Phang juga melahirkan rasa bimbangnya terhadap usaha membersihkan Gani tanpa sebarang penyiasatan oleh SPRM.

“Pada Januari 19, satu blog tanpa nama telah menuduh saya cuba merasuah Ketua Setiausaha sebuah kementerian. Saya kemudian diberitahu bahawa Peguam Negara telah mengarahkan satu kertas siasatan dibuka terhadap saya,” Phang berkata.

Namun begitu, menurut Phang, perkara itu dinafikan oleh Pengerusi SPRM, Abu Kassim Mohamed pada Januari 21.

“Walaupun dengan apa yang telah dimaklumkan oleh Abu Kassim pada saya, akhbar Malay Mail kemudian terus membuat satu laporan bahawa Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong telah mendesak SPRM untuk menyiasat saya.

"Malay Mail juga telah memetik kata seorang lagi panel Penasihat SPRM, Megat Najmuddin Megat Khas yang berkata SPRM tidak boleh membenarkan kredibiliti mereka tercalar oleh dakwaan terhadap seorang panel penasihat,” terang Phang.

Menurut Phang, pada keesokan harinya pula, akhbar NST pula melaporkan bahawa NGO Melayu, Perkasa telah membuat satu laporan terhadapnya, menyebabkan kenyataan beliau dirakamkan oleh Pengarah Penyiasat SPRM, Mustafar Ali.

“Saya terkejut kerana ia adalah tidak konsisten dengan apa yang Abu Kassim maklumkan pada saya sebelum ini. Semua ini seperti satu serangan yang dirancang terhadap saya,” kata Phang yang turut menunjukkan “kebetulan” bahawa semua pihak yang terlibat dengan serangan kepadanya berasal dari Sabah.

“Semua serangan pada saya berpaksikan pada sejarah aktiviti bisnes saya di Sabah dan semuanya karut. Ia adalah fakta bahawa AG Gani dari Sabah. Ia juga merupakan fakta bahawa VK Liew dari Sabah. VK Liew adalah Timbalan Nazri Aziz, defakto Menteri Undang-undang kita.

"Bagi saya, mengupas isu ini di tempat awam ialah satu usaha perkiraan dan perancangan untuk memburukkan saya. Ini adalah untuk meletakkan saya bagi perbicaraan awam oleh media di dalam keadaan yang amat tidak adil,” tambah Phang.

Phang juga berkata bahawa beliau mengagak bahawa bukti akan diajukan kepada dirinya dengan cara yang sama sepertimana Ramli Yusof dibicarakan, dan menyindir bahawa kepantasan beliau menjadi sasaran jauh berbanding dengan kelambatan pendedahan awam hubungan Gani dengan Shahidan.

“Saya menganggap semua ini tidak memuaskan dan penuh dengan dwi standard,” dakwa Phang.

“Saya telah mempertimbangkan hal ini dan saya akan mengotakan kata-kata saya. Saya rasa meletakkan jawatan merupakan satu-satu caranya yang betul untuk saya secara ikhlas bagi membantu memudahkan penyiasatan,” umum beliau.

Tiada ulasan: