"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pindah Mahkamah, Ada Pihak Bimbang Tuntutan Royalti

SHAH ALAM, 27 JAN: Seolah-olah berjaya menghidu bahawa kerajaan akan gagal menghalang tuntutan royalti minyak kerajaan negeri Kelantan ke atas Petronas, pelbagai usaha dilakukan termasuk memindahkannya dari Mahkamah Perdagangan ke Mahkamah Sivil.

Menurut Ahli Jawatankuasa Perancang Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan, Datuk Abdul Fatah Harun, perpindahan kes tersebut langsung tidak dimaklumkan kepada kerajaan negeri.
 

Bahkan paling mengejutkan, Petronas selaku pihak dependan juga tidak memfailkan sebarang permohonan untuk tujuan tersebut.  
"Saya rasa kerajaan seolah-olah sudah nampak kes tersebut akan menyebelahi kita. sebab itu mereka macam takut hendak membicarakan dalam mahkamah yang kita failkan kes tersebut. 
   
"Fungsi kedua-dua mahkamah itu berlainan. Disebabkan itu, apabila kita mendaftarkan kes itu di mahkamah Perdagangan itu ada asas kita tetapi apabila mereka pinda, tentulah ada tujuan di sebalik pemindahan mahkamah tersebut," kata Fatah ketika dihubungi Tv Selangor.

Terdahulu peguam negeri Kelantan, Tetuan Tommy Thomas memberitahu bahawa Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,Tuan Wilson Tay memaklumkan kes saman tuntutan royalti kerajaan negeri Kelantan telah dipindahkan ke bahagian sivil dengan hakim yang baru akan dilantik. 
Dalam masa sama, pendengaran permohonan kerajaan pusat untuk mencelah dan menjadi defendan kedua yang dijadualkan 24 Januari lalu juga telah ditangguhkan ke tarikh yang belum ditetapkan. 
Menurut Fatah lagi, perpindahan itu agak mengecewakan kerana umum mengetahui kes yang dibawa ke bahagian sivil selalunya mengambil masa yang lama. 
Malah tidak menolak kemungkinan ia usaha untuk menggugurkan kes ini kerana bahagian sivil tidak diperuntukkan untuk mendengar tuntutan saman seperti itu. 

"Dan kita tahu apabila dipindahkan ke mahkamah sivil itu sekurang-kurangnya, akan berlaku kelewatan lah. Kebiasaanya kes ini ia akan berlarutan. Jadi harapan kita supaya kes ini dipercepatkan, sudah menjadi hampa," katanya lagi.     

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Kelantan, Datuk Husam Musa dalam satu kenyataan medianya meluahkan kekesalan di atas percubaan untuk menghalang kerajaan negeri mendapatkan penghakiman yang adil dan bebas.
"Ia mungkin akan mendorong kerajaan negeri mengambil tindakan-tindakan yang lain bagi melindungi hak rakyat Kelantan yang telah dinafikan,"Husam dipetik dari kenyataan itu. 
Kerajaan negeri sebelum ini membantah percubaan kerajaan pusat campur tangan dalam kes berkenaan memandangkan tuntutan kerajaan negeri berasaskan perjanjian yang termaktub di antara kerajaan negeri dan Petronas pada tahun 1975. 
Kerajaan negeri menyaman Petronas kerana tidak memenuhi perjanjian yang dibuatnya untuk memberikan royalti minyak 5 peratus kepada kerajaan negeri.
Pada 30 Ogos lalu, kerajaan negeri Kelantan memulakan tindakan perundangan dengan memfailkan saman terhadap Petronas mendakwa syarikat petroleum nasional itu tidak membayar royalti yang dianggarkan RM800 juta setahun sejak 2005.
Menurut kerajaan negeri Kelantan, tindakan Petronas itu bukan sahaja melanggar undang-undang sedia ada, tetapi juga mendakwa bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
-tvsnews-

Tiada ulasan: