Ikuti pandangan beliau mengenai perjuangan Islam sewaktu temubual ringkas beliau bersama wartawan Harakah, NYZA AYOB dan wartawan Harakahdaily, AZIZ MUDA. Beliau ditemui selepas pertemuan dengan wakil Hamas di Pejabat Agung PAS, pada 24 Januari lalu.
HARAKAH: Daripada pertemuan singkat dengan wakil Hamas, apa yang Tuan Guru harapkan daripada hubungan kedua-dua parti ini?
DATO' SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG: Hamas ialah sebuah parti Islam yang sama perjuangannya dengan PAS dan sama-sama memerintah. Kita memerintah kerajaan negeri dan Hamas juga memerintah melalui wilayah. Cuma mereka lebih mencabar daripada PAS kerana wilayah pemerintahan mereka dikepung di segenap penjuru.
Apa yang menarik mereka mendapat pertolongan daripada Allah dan semangat rakyat pada seluruh dunia sama ada daripada orang Islam atau bukan Islam.
Apa yang dapat dilihat di media, bagaimana usaha untuk memecahkan kepungan dan Alhamdulillah ia dapat dipecahkan sedikit sebanyak walaupun tidak seluruhnya.
Itu menandakan Islam akan menang dan tidak dapat dihapuskan. Itu tanda kemenangan yang terserlah daripada perjuangan Hamas. Bukan sahaja mereka diserang daripada segi politik, diwajahkan dengan wajah ganas di media-media kemudian pentadbirannya di kepung dan diserang dari arah laut, udara dan darat. Walaupun dengan pelbagai senjata yang canggih, ia tetap tidak dapat dikalahkan.
-PAS sering menerima kunjungan daripada wakil Hamas? Apakah kunjungan tersebut lebih daripada kunjungan persahabatan?
Sudah menjadi tanggung jawab kita menghulurkan bantuan dan kita juga berusaha supaya kerajaan juga membantu. Justeru PAS menyeru supaya semua pihak di Malaysia sama ada daripada parti polik atau NGO membantu Gaza. PAS juga melihat perjuangan Islam kini makin berjaya. Ini menunjukkan perjuangan Palestin mesti atas nama Islam dan tidak boleh atas nama nasionalisma atau kenegerian. Kita mesti mulakan atas nama perjuangan Islam.
Kumpulan Islam berjaya menawan beberapa daerah di Palestin tahun 1948 tetapi malangnya berlaku pengkhianatan, pemimpin Islam ditangkap dan dibunuh. Hassan al Bana ditangkap dan dibunuh pada 1949 oleh pemimpin arab sendiri.
Akhirnya golongan nasionalis dan golongan sekular mengambil alih perjuangan. Bagaimanapun mereka gagal dan tidak mampu dan tidak berupaya. Sebab itu golongan Islam mengambil balik dan terbukti apabila Hamas di Ghazah dan Hizbullah di Selatan Lubnan telah berjaya mengalahkan Israel dalam peperangan yang berlaku sebulan lebih itu.
Walaupun tidak ada negeri Islam yang hendak bantu mereka dan dikepung di segenap penjuru, Hamas dan Hizbullah telah berjaya menyatakan perjuangan atas nama iman dam Islam boleh mengalahkan kekuatan tentera yang besar tanpa dinafikan persediaan harta benda adalah penting. Yang penting adalah perkara yang berlaku itu lebih memberi keyakinan kepada umat Islam untuk berdiri dan bersatu kembali kepada Islam.
-Tuan Guru ada menyebut, perjuangan demi menegaskkan Islam dibantu dengan pertolongan daripada Allah. Jika kita kaitkan dengan realiti yang berlaku di Malaysia, dalam beberapa pilihan raya kecil yang disertai PAS selepas Pilihan Raya Umum ke 12, PAS berjaya mengekalkan serta menawan kubu pihak lawan...
Kemenangan tersebut bukan bermula dengan kemenangan pilihan raya tetapi kemenangan semangat keimanan kita yang tidak dapat dikalahkan.
Selepas itu kesanggupan kita untuk mengorbankan harta benda dan nikmat yang Allah beri mengikut kemampuan kita dengan ikhlas dan selepas itu datangnya pertolongan Allah.
Ini terbukti kita menang di Kelantan, pernah menang di Terengganu, pernah menang di Perak dan menang di Kedah. Dan kita pernah menag di Dun- dun dalam pilihan raya yang tidak seimbang. Walaupun kemenangan itu payah tetapi itulah syarat yang Tuhan tetapkan kerana Tuhan hendak bagi kemenangan kepada kita. Kemenangan pasti berlaku dan tidak mustahil.
Kita berusaha sedaya upaya. Seperti di Terengganu, kita berusaha sedaya upaya dengan asas yang kita ada. Dan BN bergantung dengan jentera-jentera kerajaan semata-mata. Kelemahan Umno juga dinyatakan sendiri oleh pemimpin Umno di Terengganu.
Mereka menyedari kekuatan PAS dan Menteri Besar Terengganu juga meminta orang-orangnya belajar daripada PAS. Itu dia dah mengaku kelemahannya. Walau bagaimanapun kita tidak boleh mengharapkan kemenangan daripada kelemahan lawan. Kita mesti membina kekuatan kita sendiri. Dan baru-baru ini kita telah berjaya mengadakan program PAS ganti Umno di Terengganu. Program tersebut diadakan di Kemaman iaitu kawasan Umno paling kuat di Terengganu. Kita telah berjaya mengumpul hampir 40,000 orang. Insya-Allah kita akan adakan program seumpama itu kali kedua di Besut tidak lama lagi.
-Mungkinkah juga kemenangan tersebut akan terlakar sekali lagi melalui Pilihan Raya Kecil Dun Tenang?
Di Tenang, perjalanan pilihan raya berlaku dengan Tenang. Dan PAS menasihati jentera pilihan raya kita supaya berdisiplin serta beradab dan bersopan. Menarik pengundi dengan cara yang bijaksana dan jangan terpengaruh dengan provokasi yang dibuat pihak lawan.
Kita sedar Tenang adalah kubu BN tapi di sana berlaku tanda-tanda berlaku perubahan apabila kita berjaya menurunkan majoriti daripada 5000 pada 2004 kepada 2500 pada 2008. Dan di sana ada tanda-tanda positif yang memungkinkan kita masuk.
Kita kena sedar oleh kerana rakyat khususnya kawasan Felda tidak mendapat maklumat. Maklumat mereka terhad khususnya melalui RTM dan media perdana yang dikuasai BN.
Jadi melalui PRK ini kita dapat berceramah dan mereka dapat mendengar sedikit sebanyak ayng menyebabkan mereka kenal dengan PAS.
Selain itu calon kita juga berwibawa sama ada daripada segi pendidikan serta peranannya dalam masyarakat. Beliau seorang guru dan aktif dalam NGO. Beliau dikenali penduduk Tenang dan berbeza dengan calon BN walaupun anak tempatan tetapi berkhidmat di luar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan