Nazri Abdullah
LABIS, 29 Jan: Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil Dun Tenang, Normala Sudirman positif masyarakat di Dun itu akan bersama beliau pada hari pengundian esok.
Beliau ketika ditemui hari ini melahirkan keyakinan itu berdasarkan sambutan masyarakat yang ditemuinya ketika berkunjung rumah ke rumah sepanjang tempoh kempen.
Katanya, biarpun berdepan taktik kotor pihak lawan yang menyerang peribadinya, namun beliau yakin masyarakat di Dun Tenang pandai menilai kebenaran.
"Harapan saya sentiasa positif, saya yakin pengundi akan membuat pilihan terbaik.
"Saya percaya dengan izin Allah tiada yang mustahil dan saya berdoa pengundi membuat pilihan tepat untuk kebaikkan Dun Tenang," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily selepas menziarahi keluarga jenazah seorang penduduk di kampung Lembah Bakti di sini yang terbabit kemalangan.
Biarpun hujan lebat turun sejak awal pagi ini, namun ianya sedikitpun tidak membantutkan perjalanan waktu-waktu akhir kempen Normala.
Hari ini merupakan hari terakhir kempen yang akan tamat secara rasmi jam 12 malam ini.
Manakala esok, sejumlah 14,554 pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka memilih calon yang akan mewakili mereka ke Dun Johor.
Sebelum ini 119 pengundi pos telah menunaikan tanggungjawab sama.
Calon PAS, Normala Sudirman akan berdepan calon BN, Mohd Azahar Ibrahim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan