"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gempar ular tedung kaki empat

AIR PUTIH: Penemuan seekor anak ular dipercayai jenis tedung selar yang mempunyai empat kaki menggemparkan penduduk yang menyifatkan ia sebagai pelik dan luar biasa.

Anak ular sepanjang kira-kira 17 sentimeter yang memiliki kaki kecil itu ditemui dua pekerja bahagian landskap, Mohd Halimiza Mohd Halim, 22, dan Amin Hassan, 32, yang sedang menanam pokok hiasan di tepi jalan ladang sawit TDM Plantation Sdn Bhd kira-kira jam 9.20 pagi semalam.


Mohd Halimiza berkata, dia hanya menyedari anak ular yang berwarna hitam itu mempunyai empat kaki selepas rakannya memukul ular berkenaan yang cuba mematuknya.

“Ketika menanam pokok hiasan tiba-tiba saya ternampak seekor anak ular keluar dari celah tandan kelapa sawit lama yang sudah kering tidak jauh dari tempat kami menanam pokok.

“Dengan pantas anak ular itu melingkar menuju ke arah Abang Amin dan kepala ular itu turut mengembang kerana mahu mematuk,” katanya yang menetap di Ladang Bandi.

Menurutnya, dia menjerit dan secara spontan Amin memukul anak ular itu dengan besi pencungkil buah sawit menyebabkan kepala anak ular itu putus serta badannya turut terputus tiga.

“Ketika anak ular itu melingkar saya dan rakan sekerja tidak menyedari ular berkenaan mempunyai kaki.

“Namun, selepas ia mati barulah kami perasan yang ular ini pelik dan unik kerana saya tidak pernah melihat ular sebegini,” katanya.

Mohd Halimiza berkata, selepas melihat kaki anak ular itu, mereka was-was dan beranggapan mungkin haiwan itu bukan ular tetapi mengkarung.

“Bagaimanapun, selepas mengamati fizikal ditambah dengan serangan agresif haiwan ini yang mahu mematuk rakan saya, saya yakin ia adalah anak ular yang mungkin dari jenis tedung selar,” katanya.

Menurutnya, sejak mula bekerja di ladang berkenaan setahun lalu pengala-man menemui ular berkaki adalah antara pengalaman pelik yang pernah dialaminya.

Mohd Halimiza berkata, pada masa sama penemuan itu menunjukkan bukti kebesaran Allah SWT kerana tiada yang mustahil dalam dunia ini.

Anak keempat daripada lima beradik ini berkata, walaupun anak ular berkenaan sudah mati namun dia akan menyimpannya supaya orang ramai dapat melihat keunikan ular berkenaan yang lain daripada lain. 
-sinarharian-

Tiada ulasan: