"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Antara ’bapak kafir’ Rahim Noor dan Pas ’Parti Ajaran Sesat’ MB Terengganu Ahmad said

Dr. Syed Azman Syed Ahmad
Tiba-tiba Mantan Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor dalam kenyataan di akhbar berbahasa Inggeris New Straits Times pada minggu lepas melabelkan Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai “bapak kafir” atau "Nik Aziz is father of kafir" kerana dianggap mengelirukan umat Islam ekoran kenyataannya mewajibkan seluruh ahli dan penyokong Pas menyokong himpunan aman Bersih 3.0.
Namun beberapa hari kemudian Rahim telah membuat penafian dengan menyatakan bahawa apa yang beliau katakan hanyalah sikap para pemimpin Pas termasuk Nik Aziz dan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang yang menggunakan hujah agama untuk melawan Umno. Beliau juga menyatakan bahawa tidak pernah mengatakan Nik Aziz adalah political animal sebaliknya istilah yang beliau gunakan adalah 'political creature' atau ‘politik haiwan hidup’. Sebenarnya political animal dan political creature mempunyai maksud yang sama.
Sebelum itu Menteri Besar Terengganu Dato’ Sri Ahmad Said telah membua tuduhan dengan melebelkan Pas sebagai sebuah ‘parti ajaran sesat’. Beliau membuat tuduhan sedemikian ketika berucap pada majlis menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia di Kemaman dan menyifatkan Pas sebagai “parti ajaran sesat".

Ya, implikasi kedua-dua tuduhan dari Rahim Noor dan Ahmad Said itu amat besar dalam konteks keharmonian masyarakat Melayu dan Islam di negara kita. Lebih-lebih lagi tuduhan yang dilemparkan itu disiarkan secara meluas oleh akhbar-akhbar perdana milik kerajaan. Siapakah yang bertanggungjawab terhadap tuduhan jahat dan liar sebegini? Dan siapakah yang akan memikul segala bebanan implikasi dari tuduhan liar sedemikian?

Apakah ini memperlihatkan bahawa kini Umno/BN amat terdesak untuk mendapat sokongan dan tidak meneliti langsung kesannya terhadap keharmonian kehidupan harian masyarakat di negara kita? Malahan tuduhan yang dilemparkan tersebut amat merbahaya dan sudah tentu boleh menimbulkan kemarahan dan kebencian dikalangan rakyat yang berbilang agama dan kaum.

Persoalannya, apakah mentaliti bobrok dan kedangkalan pemikiran Rahim Noor dan Ahmad Said sama tarafnya? Apakah mereka mahu kembali kepada zaman ‘kafir-mengkafir’ dengan tuduhan bahawa ‘orang-orang Pas mengkafirkan orang-orang Umno’ sehinggakan timbul ketegangan dan perpecahan yang amat parah dalam masyarakat Melayu? Yang dibimbangi lagi tuduhan ‘kafir mengkafir’ ini boleh menjejaskan akidah orang yang mengeluarkan kenyataan yang amat tidak bertanggungjawab itu. Apakah Rahim dan Ahmad Said akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap ‘provokasi’ bahaya ini?

Kalau diimbas kembali latar belakang kedua-dua individu ini, Mantan Ketua Polis Negara Rahim Noor terkenal dengan tindakan ganas dalam ‘peristiwa mata lebam’ di luar perikemanusiaan dan tatacara kepolisan semasa menjawat jawatan Ketua Polis Negara. Malah mahkamah telah menghukum dan membuktikan bahawa beliau bersalah dengan memukul dan membelasah Dato' Seri Anwar Ibrahim sehingga hampir mati tatkala ditahan pada tahun 1998. Tidak cukup dengan itu beliau juga dituduh melakukan pelbagai fitnah.

Sementara itu, Ahmad Said pula terkenal dengan sikap ‘pongoh’ (terburu-buru) dan panas baran beliau apabila berhadapan dengan tekanan dan masalah yang dihadapi. Kepimpinan beliau yang dilihat bobrok dengan terus berbelanja besar dengan dengan bajet lebih RM 2 bilion setiap tahun dengan projek mega seperti Pulau Bebas Tasik Kenyir yang bernilai lebih RM 300 juta dan pembinaan Zoo yang bernilai RM 100 juta di Kemaman. Di waktu yang sama rakyat Terengganu rata-rata di himpit kemiskinan dan terpaksa menanggung bebanan kos kehidupan harian yang amat memeritkan. Ini ditambah lagi dengan lenyapnya satu demi satu perkampungan orang-orang Melayu akibat dari arus pembangunan yang di bawa oleh kepimpinan beliau sepanjang menjawat jawatan Menteri Besar.

Bagi saya kedua-dua tuduhan jahat itu adalah gambaran pemimpin Umno/BN yang amat terdesak lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya. Tuduhan melulu ini adalah keterlaluan dan melampau. Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah merupakan sosok seorang ulama, tokoh politik dan ilmuan Islam berwibawa yang dihormati dan disegani setiap lapisan masyarakat bukan sahaja di negar kita kita tetapi juga di serata dunia. Orang Islam mahupun orang bukan Islam menyanjungi budi pekerti Tuan Guru dan menghormati kegigihan beliau mentadbir Negeri Kelantan selaku Menteri Besar secar telus dan jujur. Beliau merupakan teladan terbaik kepada seluruh negara. Biarlah rakyat Malaysia membuat penilaian terhadap kedua-dua tuduhan jahat ini.

Penolong Setiausaha Agong Pas. Email: syedazmans@yahoo.co.uk

Tiada ulasan: