"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahkamah: Sosilawati dibaring, ditikam di tengkuk

Kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya
SHAH ALAM: Jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya telah dibunuh dengan cara dibaringkan dan ditikam di tengkuknya oleh tertuduh kedua, T.Thilaiyalagan sambil disaksikan oleh tertuduh pertama, N. Pathmanabhan pada 30 Ogos 2010.

Demikian antara persoalan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff dalam soal balas terhadap Thilaiyalagan di Mahkamah Tinggi di sini
hari ini.

Seterusnya, Sosilawati telah menjerit dengan kuat dan meminta tolong dan Pathmanabhan juga telah mengarahkan Thilaiyalagan supaya membunuh jutawan itu di hadapannya kerana dia ingin menyaksikan sendiri kejadian itu.

Sementara tiga lagi lelaki yang bersama Sosilawati, pegawai bank Noorhisham Mohamad, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin
Shamsuddin turut dibunuh dengan cara yang sama.

Kesemua itu merupakan cadangan yang diberikan oleh Ishak kepada Thilaiyalagan, 21, semasa menyoal balas tertuduh kedua itu pada perbicaraan di sini.

Bagaimanapun, semua cadangan itu dijawab 'tidak setuju' oleh Thilaiyalagan yang diperintah membela diri bersama bekas peguam Pathmanabhan, 43, serta
pekerja ladang R.Matan, 22, dan R.Kathavarayan, 32, atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, Noorhisham, 38, Ahmad Kamil, 32, dan Kamaruddin, 44.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Ishak mencadangkan kepada Thilaiyalagan bahawa terdapat dua kereta jenis BMW telah masuk ke Ladang Gadong antara pukul 5 dan 6 petang, 30
Ogos 2010, dan tertuduh menjawab tidak setuju.

"Saya cadangkan dalam kedua-dua kereta itu ada seorang wanita Melayu dan tiga lelaki Melayu bersama Pathmanabhan," kata Ishak dan tertuduh menjawab tidak
setuju.

Thilaiyalagan juga tidak bersetuju dengan cadangan Ishak bahawa selepas Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin tiba di ladang, tertuduh telah diarahkan oleh Pathmanabhan untuk menangkap dan mengikat mereka.

"Awak telah arahkan Matan dan K.Sarawanan (saksi ke-59 pendakwaan) untuk ambil diesel di ladang dan diserah kepada awak setelah bunuh Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin," cadang Ishak dan tertuduh menjawab tidak setuju.

"Kemudian awak bersama Sarawanan telah angkat empat orang itu dan letak atas longgokan kayu yang telah disusun terlebih dahulu," cadang Ishak dan Thilaiyalagan menjawab tidak setuju.

"Selepas itu awak, Matan dan Sarawanan letak kayu atas badan mayat dan telah curahkan minyak atas mayat seterusnya bakar semua mayat itu," cadang Ishak dan
tertuduh menjawab tidak setuju.

"Zink juga telah digunakan sebagai lapik di tempat pembakaran itu," cadang Ishak dan Thilaiyalagan menjawab tidak setuju.

Tertuduh juga tidak bersetuju dengan cadangan Ishak bahawa pada 31 Ogos 2010 kira-kira pukul 8 pagi, dia dan Matan telah memungut sisa pembakaran mayat dan
memasukkannya ke dalam sebuah tong biru.

Ketika ditanya sama ada dia ada berbincang dengan tertuduh lain mengenai pembelaannya di mahkamah, Thilaiyalagan menjawab: "Saya tidak pernah bincang
pembelaan saya bersama tertuduh lain."

"Saya cadangkan awak bersama-sama tiga tertuduh lain telah merancang untuk membunuh Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin sejak 29 Ogos 2010," kata Ishak dan tertuduh menjawab tidak setuju.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung pada 6 November ini.
-Bernama-

2 ulasan:

alba berkata...

Tembak saja pembunuh2 nih..!!

alba berkata...

Tembak saja pembunuh2 nih..!!