"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Angkara pegawai UMNO dalam kerajaan negeri?

ZULKIFLI YAHAYA
Mengikut laporan Ketua Audit Negara 2011, kerajaan negeri Kedah dikesan membuat pembayaran sebanyak RM2.55 juta kepada lima kontraktor yang tidak berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) bagi melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan tujuh perumahan awam kos rendah (PAKR) sepanjang 2010 hingga 2011.

PAKR yang terlibat ialah Taman Seri Gemilang, Flat Seberang Terus, Taman Wira, Flat Alor Malai, Flat Simpang Kuala, Flat Tongkang Yard dan Taman Kota Nelayan.

Laporan sama turut mendedahkan carian profil syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 15 Februari lalu mendapati Pengarah bagi lima syarikat terbabit adalah individu yang mempunyai hubungan antara satu sama lain atau daripada keluarga yang sama.

Merujuk kepada laporan tersebut, SSM dalam maklumbalasnya pada tarikh sama mengesahkan salah satu daripada lima kontraktor tersebut tidak wujud dalam rekod pendaftaran syarikat.

''Semakan lanjut terhadap baucar bayaran mendapati sebanyak RM500,000 telah dibayar kepada kontraktor tersebut dengan menggunakan akaun bank dan nombor pendaftaran syarikat lain pada 2011," jelas laporan itu.

Selain itu, semakan audit mendapati jadual bahan (BQ) yang disediakan bagi 181 kerja berjumlah RM390,400 di Taman Seri Gemilang dan Flat Seberang Terus adalah tidak terperinci berbanding skop yang sepatutnya dinyatakan mengikut jadual kadar.

Laporan itu juga mengesan bayaran sebanyak RM59,419 telah dibuat terhadap tuntutan kerja oleh empat kontraktor di Taman Seri Gemilang dan Flat Seberang Terus walaupun kerja sebenar yang dilaksanakan berbeza dengan kerja-kerja yang dicatatkan dalam borang tuntutan bayaran.

''Satu kontraktor didapati membuat tuntutan berulang dalam baucar yang sama berjumlah RM5,600 bagi kerja dan rumah yang sama di Taman Seri Gemilang manakala terdapat tuntutan berulang berjumlah RM2,000 oleh dua kontraktor bagi kerja dan rumah yang sama.

''Kesemua tuntutan berjumlah RM7,600 bagi kerja penyenggaraan yang berulang itu telah dibuat kepada kedua-dua kontraktor terbabit," jelas laporan berkenaan.

Teguran-teguran lain yang dinyatakan dalam laporan tersebut ialah caj kerja pembersihan berulang (RM12,500), bayaran terhadap kerja yang tidak dilaksanakan dan rumah yang tidak wujud (RM44,540) dan pembaikan kerosakan bagi rumah berpenghuni (RM169,998).

Laporan itu berpendapat matlamat Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kedah untuk menyenggara PAKR dengan baik belum tercapai ekoran kerja yang dilaksanakan tidak memenuhi skop kerja dan pemantauan yang tidak berkesan oleh pihak pengurusan.

Namun mengikut maklum balas Bahagian Perumahan, Pejabat SUK Negeri Kedah bertarikh 13 Jun lalu, bayaran balik sebanyak RM86,259 telah diterima.

Saya mengandaikan berada di pihak pembangkang kepada kerajaan negeri maka pastinya isu seperti itu menjadi 'hidangan yang sangat lazat' untuk dieksploit sepuas-puasnya. Itulah yang dilakukan oleh kesemua laman maya BN. Ada juga laman maya pro Pakatan yang turut membaham kerajaan Pakatan Kedah, khususnya Ustaz Azizan berhubung penyelewengan tersebut.

Kelmarin, sebuah blog yang terkenal di Utara, Kedah Lanie mendedahkan bahawa semua penyelewengan tersebut dilakukan oleh pegawai penting yang berada di Bahagian Perumahan. Mengikut catatan blog tersebut, pegawai itu (dari kalangan KCS) telah disiasat oleh SPRM dengan ditahan reman selama 9 hari dan sekarang menunggu masa untuk didakwa di mahkamah. Apa yang lebih 'tidak mengejutkan' ialah pegawai tersebut adalah seorang AJK UMNO Bahagian Kuala Kedah, kemudian dilaporkan sudah melepaskan jawatan tersebut tetapi masih menjadi pemegang jawatan ad hoc dalam UMNO.

Pendedahan blog tersebut yang paling menarik ialah pegawai tersebut dilaporkan seorang yang tidak menghormati pihak berkuasa negeri, tidak pernah hadir ke pejabat Exco bila dipanggil oleh Exco berkaitan untuk urusan yang berkaitan dengan tugasannya. Kalau ada urusan Exco yang perlu pergi mengadap pegawai itu, bukan dia boleh dipanggil mengadap Exco. Jika benar laporan blog tersebut adakah ia berkaitan dengan sikap kepimpinan kerajaan negeri yang memberi kebebasan yang keterlaluan kepada pegawai dalam membuat keputusan?

Saya pernah menulis perihal terdapat pegawai yang tidak mematuhi polisi baru kerajaan negeri Kedah yang diumumkan Menteri Besar iaitu tidak mengeluarkan lesen pusat hiburan baru, sebaliknya hanya mengekalkan lesen lama. Akibatnya kerajaan negeri yang menerima kecaman pembangkang apabila memang terdapat lesen baru pusat hiburan dikeluarkan.

Apabila perkara ini dibangkitkan ada pihak menempelak kerajaan negeri kerana kononnya terlalu memberi muka kepada pegawai dalam membuat keputusan (kadangkala penyelewengan) tetapi apabila terdapat pegawai diserang kerana menggunakan kuasa yang melangkaui ketetapan oleh pihak berkuasa negeri, maka pihak lain pula menggunakan sentimen 'merderhakai raja' dan campurtangan kerja pegawai.

Maka terserahlah kepada kebijaksanaan Menteri Besar serta kepimpinan kerajaan negeri mencari formula terbaik berhubung penentuan skala ketegasan dan kelembutan sesebuah kerajaan, setakat mana?

Tiada ulasan: