"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tingkah Laku SUK Kedah Yang Tak Masuk Akal ….?

MATA KCS
Artikel kali ini saya mahu pembaca menilai tingkah laku Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Rasli Bin Basir di dalam dua tajuk. Di mana, ia berkisar tentang isu Yang Dipertua Majlis Daerah Kubang Pasu iaitu Tuan Haji Ahmad Fisol Bin Mohd Nor yang telah diinayai olehnya.

Penginayaan ini adalah kerana Haji Ahmad Fisol salah seorang pegawai tadbir megeri (KCS) yang komited melaksanakan tugas selari dengan dasar kerajaan Pakatan Rakyat negeri Kedah. Difahamkan juga bahawa lebih 80 peratus pegawai tadbir negeri yang bersimpati kepada Haji Ahmad Fisol dan komited menjalankan tugas mereka mengikut dasar kerajaan.

Bagi pembaca yang berfikir secara terbuka dan rasional pasti akan dapat menilai siapakah datuk Rasli yang sebenarnya. Wajarkah ia terus bertahan memegang jawatan kontrak sebagai Setiausaha Kerajaan ataupun meletakkan jawatannya secara suka rela ataupun di ambil tindakan secara paksa.

Tajuk Pertama - Kemungkinan-Kemungkinan Datuk Rasli Mengambil Tindakan Memindahkan Haji Ahmad Fisol, Yang Dipertua Majlis Daerah Kubang Pasu ke Kuala Muda, Sungai Petani

(1) Kegigihannya Menganjurkan Program Keagamaan Untuk Umat Islam di Kubang Pasu

(a) Program Mahabbah Ulamak

Program ini telah dianjurkan oleh Jawatankuasa Kesejahteraan Sosial MDKP kerjasama Ngo. Ia menghimpunkan tokoh-tokoh ulamak pondok seperti Tuan Guru Haji Salleh (Sik) Ustaz Mat Rejab (Jerlun), Tuan Guru Haji Jusoh (Kg Kepayang, Pendang) Ustaz Majid (Derang) dan Tuan-Tuan Guru Pondok sekitar Kubang Pasu dan Kedah. Program telah mendapat sambutan baik dan mendapat pujian dari masyarakat.

(b) Jelajah Takbir Aidil Fitri 1433/2012 Peringkat Daerah Kubang Pasu

Program tersebut disertai oleh agensi kerajaan negeri dan persekutuan, MDKP, Ahli-Ahli Majlis, MKK dan Ngo yang mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Penyertaan melebihi 60 buah kenderaan di malam Hari Raya Aidil Fitri. Ia pertama kali dianjurkan di daerah Kubang Pasu.

(c) Kuliah Pagi Jumaat Di Sekitar Pasar Pekan Jitra

Program ini berjaya menarik minat pelbagi golongan termasuk pegawai-pegawai kerajaan dan masyarakat sekitar hadir. Kuliah disampaikan oleh tokoh-tokoh agama dari PAS. Ia merupakan program yang julung kali berjaya diadakan oleh MDKP sejak ia diperbadankan pada tahun 1978.

(d ) Kuliah Di Pejabat Daerah Kubang Pasu

Pengisian ilmu disampaikan oleh tokoh agamawan yang pro PAS. Ia diadakan di Bilik Gerakan Pejabat Daerah Kubang Pasu yang dihadiri oleh penghulu, kakitangan pejabat dan MKK. Program ini menaikkan imej kerajaan PR di Kedah.

KESIMPULANNYA program agama yang diusahakan oleh Haji Ahmad Fisol Bin Mohd Nor, selaku Yang Dipertua dan Pegawai Daerah Kubang Pasu tidak disenangi oleh UMNO/BN dan bermungkinan mereka juga terlibat sebagai dalang yang mempengaruhi tindakan SUK membuat tindakan menukar Haji Ahmad Fisol.

(2) Pembelaan Ke Atas Isu Rakyat Miskin Tepi Sungai Keroncho, Mukim Jitra

Haji Ahmad Fisol Bin Mohd Nor, selaku Pegawai Daerah Kubang Pasu yang mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Daerah Kubang Pasu telah memberi tekanan kepada KEDA (agensi kerajaan yang dikuasi UMNO) kerana melambat-lambat proses pemindahan dan penyediaan rumah rakyat miskin yang tinggal di pinggir Sungai Keroncho, Mukim Jitra, walaupun peruntukkan telah disalurkan oleh kerajaan pusat.

Kegagalan KEDA menguruskan proses pemindahan menyebabkan kerja-kerja berkaitan pembesaran dan mendalamkan Sungai Keroncho, Mukim Jitra tidak dapat dilaksanakan oleh JPS selaku agensi pelaksana. Sungai Keroncho adalah sungai utama di Pekan Jitra bagi mengatasi masalah banjir kilat dan banjir besar.

Ketegasan Haji Ahmad Fisol telah mendapat perhatian pihak atas KEDA dan pemimpin UMNO Kubang Pasu/ Kedah merancang supaya ia ditukarkan ke daerah lain.

(3) Hubungan Tidak Mesra Dari Awal Mohd Rezal (Anak Datuk Rasli) Dengan Haji Ahmad Fisol

Sumber ahli-ahli majlis Daerah Kubang Pasu bahawa hubungan Mohd Rezal, Setiausaha MDKP (anak datuk Rasli) dengan Haji Ahmad Fisol sememangya tidak mesra dari awal. Sering berlaku percanggahan pendapat yang ketara di antara Haji Ahmad Fisol dan Mohd Rezal di dalam Mesyurat Jawatankuasa Tetap dan Mesyuarat Penuh MDKP.

Banyak keputusan MDKP yang tidak disenangi olehnya menyebabkan perlaksanaan keputusan sengaja dilambat-lambatkan seperti perangai bapak dia juga. Tindakannya bersifat provokatif yang menyebabkan rakyat rasa tidak senang hati dengan kerajaan yang memerintah sekarang. Sikap Mohd Rezal berkemungkinan kerana merasakan dirinya ada ‘kekebalan’ kerana bapanya adalah SUK.

(4) Kerjasama Baik Haji Ahmad Fisol Dengan Ahli-Ahli Majlis MDKP

Hubungan dan kerjasama baik Haji Ahmad Fisol dan Ahli-Ahli Majlis MDKP amat tidak disenangi oleh Mohd Rezal. Dari sumber dipercayai bahawa dia mendakwa bahawa Haji Ahmad Fisol sedang membina pengaruh dan imej sebagai Pegawai Daerah di Kubang Pasu serta membantu PAS/PR untuk menumbangkan UMNO/BN di dalam PRU 13 akan datang.

Tajuk Kedua - Alasan-Alasan Datuk Rasli Kepada Exco Tentang Kewajaran Membuat Pertukaran Haji Ahmad Fisol

(1) Isu Yang Sengaja Dipolitikkan

Datuk Rasli menanggapi bantahan dan tindakan ahli-ahli majlis adalah sebagai isu politik. Beliau terlupa agaknya bahawa tindakannya juga adalah politik. Beliau bukan terlibat dengan politik kepartian tetapi politik pentadbiran yang menjijikan dan merugikan rakyat Kedah.

Mengambil tindakan menukar haji Ahmad Fisol adalah tindakan politik. Sedarkah beliau bahawa letak anaknya di tempat yang selesa juga politik. Mempertahankan kedudukan anak saudaranya, Puan Rozaina sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sungai Petani yang banyak menimbul kontroversi juga tindakan politik. Begitu juga, pertukaran seorang KCS yang berkhidmat di bahagian hasil dan aset ke daerah Sik, Kedah, juga politik. Beliau tidak hadir ke mesyuarat exco juga politik. Hobi ke luar negarapun politik. Lebih utama menghadiri program-program melibatkan Al Sultan Kedah juga politik. Berkonspirasi mensabotaj kerajaan negeri dengan kroni-kroninya membina pengaruh Najib Tun Razak juga politik, ketawanya di tepi MB pada 5 September 2012 selepas mesyuarat exco pun politik, duduk tepi MB waktu sidang media buat pertama kali itu pun politik, menjaga kaum kerabat dan kronipun politik, termasuk juga masuk tangan dalam poket seluar, gelak, batuk, rambut hitam dan kentutnya pun politik. Menuduh ahli-ahli majlis menimbulkan isu politik itu politik. Sebenarnya, datuk Rasli yang selama ini buat-buat tak tahu dan tak mahu campur dalam urusan politik itupun politik.

Jadi, apa nak dihairankan dengan ahli-ahli majlis yang sememang di lantik oleh parti politik yang sah serta mendapat mandat rakyat dalam PRU 12 secara demokratik bermain politik. Kalau ahli majlis yang hairan kepadanya kerana bermain politik pentadbiran barulah betul namanya.

Namun, beza politik datuk Rasli dengan politik ahli-ahli majlis ialah dia berpolitik untuk membina legasi keluarga dan kroni dalam pentadbiran kerajaan Kedah. Beliau berpolitik untuk mengumpul harta, wang, melancong dari sumber hasil mahsul negeri Kedah. Ahli majlis pula berpolitik untuk menegakkan undang-undang, membela manusia yang diianyai olehnya, memastikan dasar dan polisi kerajaan negeri berjalan di peringkat PBT, membuat perubahan di dalam urusan PBT suoaya lebih baik dan selari dengan undang-undang.

Oleh itu, datuk Rasli tidak perlulah menuduh ahli-ahli majlis kerana kepentingan politik kerana ia hanya membusukkan mulutnya sahaja.

(2) Hak Prerogatif

Ditegaskan bahawa SUK tidak ada hak prerogatif dalam hal perlantikan maupun pertukaran seseorang Datuk Bandar ataupun Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan. Ia tertulis dengan jelas dan bahasa yang mudah difahami oleh sesiapapun di dalam Sekyen 10(1)(a)7(b) dan Seksyenb11, Akta 171.

Kaedah perlantikan selama ini adalah amalan lazim yang bercanggah dengan undang-undang. Datuk Bandar ataupun Yang Dipertua adalah jawatan terbuka. Sesiapapun layak termasuk Datuk Rasli (jika berminat bila pencen nanti) dengan syarat ia di persetujui oleh Pihak Berkuasa Negeri (Menteri Besar dan Exco).

Dalam hal ini, datuk Rasli dan konco-konconya sengaja mahu memperbodohkan rakyat dan pegawai tadbir Kedah sahaja.

Jika betul dan sah tindakkannya, mengapa sampai ke hari ini Datuk Abdul Aziz Bin Abdul Ghani, Pegawai Daerah Kubang Pasu tidak pula dapat menjalankan tugas-tugasnya sebagai Yang Dipertua Majlis Daerah Kubang Pasu. Diberitahu, datuk Abdul Aziz hanya sempat bertindak sebagai Yang Dipertua Majllis Daerah Kubang Pasu hanya satu hari sahaja. Dalam tempoh satu hari tersebut beliau mengadakan perjumpaan dengan pegawai MDKP yang di atur oleh Mohd Rezal dan pegawai-pegawai MDKP memaklumkan kepada ahli-ahli majlis bahawa semua Jawatankuasa dan aktiviti yang dirancang di zaman Haji Ahmad Fisol digantung serta merta.

Setelah menyedari hal tersebut, ahli-ahli betindak mempertikaian tentang keabsahan perlantikan beliau sebagai Yang Dipertua, maka sehingga ke hari ini datuk Abdul Aziz tidak lagi menjalankan tugasan sebagai Yang Dipertua.

Jadi, datuk Rasli tolong jawab ataupun tunjukkan bukti dalam bentuk hitam dan putih keabsahan perlantikan datuk Aziz sebagai Yang Dipertua. Biar sekalian rakyat tahu kedudukan sebenar hal ini. Apakah datuk Rasli benar disisi undang-undang ataupun telah berbohong.

(3) Kenaikan Pangkat Haji Ahmad Fisol

Alasan pertukaran Haji Ahmad Fisol kerana kenaikan pangkat tidak boleh di terima dan diputarbelitkan. Ia alasan bersandarkan fahaman lama iaitu sebelum sistem perjawatan dan perkhidmatan awam Kedah di susun semula. Semua Pegawai Daerah di Kedah adalah bergred N54. Tidak kira di daerah mana sekalipun mereka berkhidmat. Jika Pulau Tuba, Tanjung Bedil, Sungai Keroncho juga adalah sebuah daerah di Kedah, ia tetap menyandang N54. Cuma ada keistimewaan kepada empat daerah iaitu Kota Setar, Kulim, Kubang Pasu dan Kuala Muda kerana mereka (Pegawai Daerah) di beri elaun JUSA C. Di antara keempat-empat daerah istimewa ini, kecuali Kota Setar kerana ia ibu negeri Kedah terletak di dalamnya.

Kes pertukaran Haji Ahmad Fisol dari Kubang ke Kuala Muda dan Datuk Aziz dari Kuala Muda ke Kubang Pasu adalah di dalam statur quo yang sama. Jadi, macam mana dikatakan Haji Ahmad Fisol dinaikan pangkat dan adakah datul Abdul Aziz telah diturunkan pangkat. Umum tahu bahawa datuk Abdul Aziz di Kubang Pasu lebih istimewa, di samping menjawat sebagai Pegawai Daerah, beliau turut dicadangkan sebagai Yang Dipertua, sebaliknya Haji Ahmad Fisol di Kuala Muda, Sungai Petani adalah sebagai Pegawai Daerah sahaja.

Jika diperhalusi, kes ini tidak lebih sebagai satu hukuman kepada Haji Ahmad Fisol. Ia dilakukan di atas nama urusan pentadbiran semata-mata. Semua pegawai tadbir (KCS) tahu akan hal ini, tetapi ia didiamkan sahaja kerana bimbang kedudukan mereka akan terjejas.

(4) Proses Pertukaran Biasa

Pendapat yang mengatakan ia proses pertukaran biasa amat diragui. Ia jawaban yang tidak bertanggungjawab. Kes Haji Ahmad Fisol ia adalah proses pertukaran ‘sangat luarbiasa’. Pertukarannya ke Kula Muda adalah usaha menurunkan senioritinya secara terancang.

Mana-mana pegawai tadbir yang datang ke Kubang Pasu, jika mereka tidak pencen di situ maka mereka akan melonjak ke Wisma Darul Aman ataupun dilantik ke jawatan lebih tinggi dalam struktur pentadbiran kerajaan negeri. Contohnya, Datuk Noh Dahaya dinaikan pangkat sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Kedah dan Datuk Barni dilantik sebagai Tim. Rektor Insaniah. Kerana itu, jika di beri peluang kepada mana-mana Pegawai daerah di Kedah maka Kubang Pasu akan menjadi pilihan mereka. Sebabnya, peluang untuk ke Wisma Darul Aman amat cerah.

Datuk Rasli tidak boleh menutup tentang sikap dendamnya kepada Haji Ahmad Fisol. Di kalangan pegawai KCS dan orang kuatnya juga yang terlepas cakap tentang hal ini. Di antara puncanya ialah membalas dendam kes beliau di Langkawi dan Kulim yang tidak mendapat sokongan Haji Ahmad Fisol.

(5) Melibatkan 10 orang pegawai tadbir negeri yang lain

Ada kebenarannya iaitu pertukaran tersebut melibat 10 orang pegawai tadbir yang lain. Tetapi ia tidak lebih sebagai kosmetik untuk mencantikkan tindakannya yang sememangnya sangat hodoh dan jijik. Jika diteliti, siapakah di antara mereka yang terlibat dalam pertukaran tersebut yang berkhidmat dalam tempoh 8 bulan kecuali Haji Ahmad Fisol.

Mengapa tergesa-gesa nak tukar Haji Ahmad Fisol ? Siapa yang memberi tekanan…. Mohd Rezal…UMNO…konco-konconya ataupun datuk Rasli sendiri.

Satu lagi, mengapa datuk Rasli tak ikut amalan lazim di Kubang Pasu selama ini, iaitu apabila berlaku pertukaran seseorang YDP maka Setiausaha juga akan terlibat sama. Mengapa biarkan anaknya Mohd Rezal kekal di situ. Apa maksudnya ? Hebat sangatkah anaknya menjadi Ketua Pegawai Pentadbir di MDKP ?

Jika nak dibandingkan ‘performent’ anaknya dengan Ahmad Termizi dan Abdul Halim mantan Setiausaha MDKP lalu, ia baru mencapai tahap pemarkahan 45% sahaja. Tidak lulus.

Tetapi kerana ada agenda yang mahu dipergunakan bagi mencari kelemahan dan kesalahan Haji Ahmad Fisol, maka ia dikekalkan. Datuk Rasli tidak sedar bahawa tindak tanduk anaknya di MDKP cukup memualkan bukan sahaja ahli-ahli majlis malah kakitangan MDKP sendiri. Ia ibarat tangkai lebih panjang dari pucuk.

Berdasar dua tajuk tersebut, para pembaca boleh menilai sendiri tentang tingkah laku datuk Rasli selama ini. Banyak lagi tindakannya akan didedahkan oleh MATA KCS. Mudah-mudahan pendedahan ini akan membawa orang ramai memahami kedudukan sebenar di dalam isu Haji Ahmad Fisol, seorang pegawai tadbir kerajaan (KCS) Kedah. Maklumat terkini Haji Ahmad Fisol sedang menghadapi satu lagi tekanan iaitu telah diberi “surat tunjuksebab’ oleh bahagian pentadbiran pejabat Setiuasaha Kerajaan Negeri Kedah kerana telah melaksanakan Seksyen 22, Akta 171 iaitu Mesyuarat Penuh Khas.

Akhirnya, saya menyeru kepada datuk Rasli dan anaknya (Mohd Rezal) supaya bersegera melakukan taubat nasuha di atas perlakuan mereka terutama kepada pengawai tadbir negeri, Pihak Berkuasa Negeri dan rakyat Kedah. Moga Allah SWT akan mengampun dosa-dosa yang telah mereka berdua lakukan.

Walalhu alam.
Terima kasih.

Tiada ulasan: