"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perselisihan Wan Azizah-Azmin bakal lumpuhkan PKR?

Perselisihan di antara Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mencetus persoalan sama ada ia mampu menjadi penyatu kepada parti pembangkang yang berlainan ideologi.

Akhbar palsu milik kerajaan Selangor yang menghentam Menteri Besar Mohamed Azmin Ali adalah petanda terbaharu perselisihan antara pemimpin tertinggi PKR yang bakal mengeruhkan semula keadaan parti itu.

Perselisihan di antara Azmin yang juga timbalan presiden PKR dan Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berterusan walaupun parti itu cuba bergerak melangkaui ikon popularnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pemimpin parti mengakui terdapat perbezaan pendapat dalam kepimpinan tetapi menyalahkan akhbar palsu Selangorkini didalangi musuh PKR seperti Umno.

Namun, persoalannya adakah PKR akan dapat menyelesaikan perpecahan antara 2 pemimpin tertinggi parti itu, terutama apabila mereka memutuskan untuk menjadi penyatu kepada pembangkang yang berbeza ideologi.
Pergeseran lama

Perselisihan di antara Azmin dan Dr Wan Azizah menjadi isu hangat politik PKR sejak parti itu ditubuhkan pada 1999, di mana isteri kepada Anwar itu mengetuainya manakala menteri besar Selangor itu sebagai naib presiden.

Kemuncaknya ialah pada pemilihan parti itu tahun lepas di mana jawatan presiden ditandingi Dr Wan Azizah dan suaminya, Anwar.

Cakap-cakap mengatakan tujuan Anwar bertanding jawatan presiden adalah untuk menghalang isterinya dicabar Azmin atau sesiapa sahaja. Anwar kemudiannya menarik diri dan Dr Wan Azizah menang tanpa bertanding sebagai presiden.

Tahun lalu, Azmin dilantik sebagai menteri besar Selangor dan bukannya Dr Wan Azizah, walaupun dalam "Langkah Kajang" menyaksikan beliau bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya kecil sebagai sebahagian daripada rancangan untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku ketua eksekutif negeri.

Azmin dan Dr Wan Azizah juga berbeza pendapat dalam keputusan dasar parti seperti hubungan dengan PAS selepas Pakatan Rakyat dibubarkan dan pengumuman penubuhan gabungan pembangkang baharu, Pakatan Harapan.

Edisi Selangorkini palsu itu yang diedarkan pada hari terakhir konvensyen PKR di Shah Alam semalam mengeksploitasi perselisihan itu.

Di antaranya ialah sebuah artikel yang mengatakan Dr Wan Azizah akan menjadi menteri besar lebih baik dan Azmin cuba menjatuhkannya sebagai presiden.

Pemimpin PKR dengan pantas menyalahkan musuh politik mereka berhubung akhbar palsu itu.

"Saya rasa ia adalah satu langkah terdesak Umno dan Barisan Nasional (yang) cuba untuk melemahkan pentadbiran sekarang di Selangor," kata Azmin ketika ditanya mengenai akhbar palsu itu.

Naib Presiden PKR Chua Tian Chang mendakwa akhbar itu sebahagian daripada taktik Umno untuk membuatkan partinya dan pembangkang tidak bersatu, berpecah belah dan tidak layak untuk memerintah.

"Mereka tidak akan berdebat dengan kami mengenai dasar atau amalan perdebatan sihat seperti dalam demokrasi, jadi satu-satunya cara untuk menjatuhkan kita adalah dengan mengatakan PKR dan pembangkang berpecah, jadi bagaimana anda hendak percaya dengan mereka?"

Setiausaha Agung Rafizi Ramli mengakui terdapat perbezaan pendapat di kalangan pemimpin-pemimpin PKR tetapi isu itu sengaja diperbesarkan musuh parti.

Perbezaan pendapat perkara positif

Disebabkan itu, perpecahan di antara Azmin dan Dr Wan Azizah boleh mendatangkan risiko dan melemahkan PKR serta mengalihkan perhatian apabila parti itu perlu bersatu untuk menjadi kuasa penyatuan pembangkang.

"Saya tidak sama sekali bimbang tentang taktik ini kerana saya tahu akar umbi parti tidak mudah terperangkap untuk mempercayainya," kata Rafizi, yang juga naib presiden.

Beliau juga menyangkal hujah perselisihan ini menyekat parti itu, mengatakan PKR terus menambah keahliannya.

"Sejak Anwar dipenjara kami berjaya menambah keahlian. Apabila proses n dibuat secara atas talian ia meningkat 300%.

"Kami juga mendapati beberapa personaliti terkenal turut menyertai kami," katanya. Dua ahli baharu PKR ialah Datuk Saifuddin Abdullah yang sebelum ini ahli Umno dan Datuk Kamaruddin Jaafar daripada PAS. “

Malah, seorang perwakilan dari Kota Kinabalu, Rosli Masaliku mendakwa ahli akar umbi tidak terkesan dengan perselisihan yang berlaku itu.

"Parti kami sudah matang untuk menerima perbezaan dan kritikan ini. Ia bukannya politik jika tidak ada perbezaan pendapat."

Rafizi lebih suka untuk melihat perbezaan pendapat sebagai kekuatan tetapi menegaskan setiap kali PKR membuat keputusan secara kolektif, semua ahli mesti mengikutnya.

"Saya akan lebih bimbang jika ahli berasa selesa dengan pemimpin mereka dan hanya bertindak sebagai ‘yes men’.

"Apabila anda menghormati perbezaan pendapat ini bermakna tidak ada sesiapa yang akan mencantas mereka melalui parti. Ia menjadi mekanisme semak dan imbang yang lebih kukuh dalam parti."
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: