"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kenyataan tidak cermat Mat Sabu

Dr Maszlee MalikSHAH ALAM: Penganalisis politik tempatan dan antarabangsa, Dr Maszlee Malik semalam menegur Presiden Parti Amanah Negara(Amanah), Mohamad Sabu berhubung kenyataannya yang mengaitkan Pas dengan pengganas IS.
Pensyarah dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu menyifatkan kenyataaan Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu tidak cermat dan tidak wajar.

"Perlu diakui bahawa walaupun aspirasi Pas untuk menubuhkan negara Islam yang melaksanakan hudud dan juga sikap fanatik ahli-ahli Pas kepada parti mereka lantas bersikap keras terhadap fikrah yang berlainan adalah mirip kepada pendekatan IS, namun Pas dengan jelas menolak perjuangan bersenjata di Malaysia dan juga memilih cara muwajahah silmiyyah (penentangan secara aman) berdasarkan sistem demokrasi.

"Hal ini merupakan garis pemisah utama di antara Pas dengan IS. IS diketahui umum bahawa mereka menolak proses demokrasi malah mengkafirkan sistem demokrasi dan juga sesiapa yang terlibat dengannya. Ini bukanlah sikap Pas semenjak hari pertama ia ditubuhkan sehingga kini," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan, Mat Sabu mendakwa antara punca Amanah ditubuhkan ialah kerana bekas partinya, Pas sudah diresapi pemikiran IS.

Oleh itu, bekas Timbalan Presiden Pas itu menuntut agar siasatan terperinci dibuat pasukan keselamatan ke atas penyusupan pemikiran IS yang menyebabkan suburnya budaya 'takfiri' dalam Pas.

Menurut Dr Maszlee, contoh-contoh yang disebut Mat Sabu tidak boleh dijadikan ukuran untuk memukul rata bahawa parti Islam tersebut seumpama IS ataupun membawa fikrah IS.

"Tidak dinafikan terdapat segelintir ahli-ahli Pas dan juga sekerat dua pemimpin Pas yang bersimpati kepada IS atau mempunyai fikrah yang cenderung kepada takfiri (mengkafirkan sesama Muslim) seperti IS, namun itu tidak boleh dijadikan ukuran.

"Perlu juga diakui bahawa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah berkali-kali menegaskan penolakan beliau terhadap pendekatan ganas IS dan menyeru ahli-ahli Pas agar tidak menyertai IS. Fakta ini perlu diambil kira oleh mana-mana pihak sebelum mereka mengaitkan Pas dengan IS," katanya.

Katanya, Pas mempunyai peranan yang amat penting untuk membendung anak-anak muda Malaysia dari menyertai IS.

"Pas juga perlu dilibatkan oleh pihak keselamatan dan juga kerajaan di dalam usaha mereka membendung pengaruh IS daripada bertapak di bumi Malaysia.

"Pas begitu relevan di dalam meyakinkan para pemuda yang berkobar semangat untuk menyertai IS bahawa mereka boleh sahaja berjuang dengan menyertai Pas dengan mengambil jalan demokrasi dan aman untuk mencapai cita-cita mereka.

"Pihak berwajib dan pihak keselamatan perlu peduli dan peka terhadap peranan yang boleh dimainkan oleh Pas ini," katanya.

Dr Maszlee turut menasihatkan agar Amanah termasuk Mat Sabu lebih cermat dalam isu itu.

"Kenyataan pukul rata yang beliau lakukan itu tidak akan membantu usaha pihak berwajib untuk menanggani isu IS.

"Bagi pihak Pas juga, mereka hendaklah bersikap lebih pro-aktif di dalam membantu kerajaan dan pihak keselamatan di dalam melakukan kempen anti-keganasan dan anti-IS sebagai sebahagian dari usaha mereka untuk menasihati kerajaan BN dan menjaga keamanan negara," katanya.
-sinarharian-

Tiada ulasan: